Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, secara keseluruhan, kumpulan menjangkakan 15 peratus daripada 236 kakitangan pengurusan kanannya akan menerima tawaran VSS tersebut.

Katanya, inisiatif itu adalah selari dengan usaha kumpulan untuk menyampaikan prestasi mapan dalam menghadapi industri yang mencabar serta meningkatkan prestasi operasi dan kewangan per­niagaan teras FGV.

“Inisiatif ini perlu bermula daripada bahagian teratas dan ia merupakan isyarat bahawa kita berusaha dengan membuat keputusan yang sukar untuk meningkatkan keyakinan pemegang saham dan kepenti­ngan syarikat.

“Kumpulan pengurus besar, pengurus besar kanan, naib presiden termasuk diri saya sendiri akan menerima poto­ngan 15 peratus elaun di bawah inisiatif untuk mening­katkan pengurusan kos ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria ber­kata, tiada perubahan da­lam struktur pengurusan sema­sa kumpulan ketika ini.

“S. Palaniappan berpengalaman selama lebih 40 tahun dalam industri perladangan kekal sebagai Ketua Pegawai Operasi sektor Perlagangan dan akan bertanggungjawab terhadap aktiviti huluan dan hiliran sawit serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Datuk Khairil Anuar Aziz pula sebagai Ketua Pegawai Operasi Gula dan Lojistik dan Lain-lain akan memikul tanggungjawab tambahan untuk mengawasi sektor gula berkuatkuasa Januari 2018,” jelasnya.