Zakaria Arshad

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kum­pulan, Datuk Zakaria Arshad berkata, FGV mempunyai rang­kaian fasiliti R&D yang lengkap daripada huluan sehingga hiliran termasuk dari segi produk makanan, agronomi, kultur tisu dan bioteknologi pembenihan pokok sawit.

Malah katanya, FGV menguasai antara 42 hingga 43 peratus pasaran di Malaysia bagi penggunaan anak benih pokok sawit, Yangambi yang merupakan sumbangan terbesar FGV dan Felda dalam R&D kepada pembangunan industri sawit di negara ini.

“Oleh itu, sebagai syarikat perladangan yang terlibat secara langsung dalam aktiviti R&D ini, sudah pasti kita terbuka untuk mengambil bahagian dalam usaha kerajaan memandangkan ia satu langkah yang tepat untuk meningkatkan kualiti minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Pame­ran dan Persidangan Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Minyak Laurik (POC2017) yang disempurnakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan dan Ketua Setiausaha Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk M. Nagarajan.

POC 2017 kali ke-28 yang diadakan selama dua hari itu dihadiri kira-kira 2,000 peserta dari 59 buah negara.

Pada majlis itu, Siew Keong mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan dana berjumlah RM50 juta bagi membantu meningkatkan kualiti minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit yang akan melibatkan kerjasama dengan syarikat swasta dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).