Pegawai Bertanggungjawab FGV, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, program tersebut berjalan lancar dan proses kemasukan tenaga kerja dari Bangladesh dan Indonesia mula direkodkan secara berperingkat pada bulan ini bagi menampung kekurangan kira-kira 8,000 orang tenaga kerja.

Katanya, buat masa ini, hampir 600 tenaga kerja asing baharu telah diambil masuk dan berharap masalah kekurangan pekerja dapat ditangani dengan segera dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Ini merupakan keutamaan FGV bagi memastikan pengeluaran yang optimum daripada ladang kami. Malah, FGV akan sentiasa memastikan setiap proses kemasu­kan tenaga kerja asing ini mematuhi perundangan dan polisi yang ditetapkan di kedua-dua negara.

“Sebagai sebuah syarikat bertanggungjawab, kami komited terhadap standard yang ditetapkan oleh Run­dingan Meja Bulat Minyak Sawit Mapan (RSPO) dalam proses penggajian pekerja asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

FGV mengusahakan ladang seluas lebih 450,000 hektar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Sektor perladangan merupakan sumber utama pendapatan FGV iaitu menyumbang sebanyak 70 peratus sekali gus meletakkannya antara pengeluar utama minyak sawit mentah dunia.

Hasil usaha menambah tenaga kerja di ladang-ladang ini secara tidak langsung akan membawa impak positif kepada syarikat dan pulangan yang diberikan kepada para pemegang saham termasuk para peneroka.

Baru-baru ini, FGV memulakan usaha pengambilan rakyat tempatan khususnya dalam kalangan ge­nerasi baharu peneroka untuk menyertai industri perladangan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Selain perladangan, FGV turut menawarkan generasi baharu Felda menyertai unit beruniform menerusi anak syarikat, Felda Security Services Sdn. Bhd. yang ketika ini mempunyai 3,000 anggota kebanyakannya dalam kalangan anak peneroka.

Menurut Khairil Anuar, FGV giat menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk sektor perladangan terutama dari segi jentera bagi meringankan beban kerja dan mempercepatkan operasi harian.

“Tugas pekerja ladang banyak dibantu oleh peralatan mekanikal dan jentera berteknologi tinggi berbanding dahulu. Oleh itu, FGV sedang meningkatkan promosi peluang pekerjaan ini dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya.