Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dalam sidang akhbar pertamanya selepas berakhir tempoh ‘bercuti’ sejak awal Jun lalu menjangkakan, langkah pelupusan itu dapat dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

Katanya, buat masa ini, FGV sedang berbincang dengan beberapa pihak di Kalimantan berhubung pembelian tanah tersebut dan membolehkan kumpulan meninjau kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan dengan tanaman sawit.

“Ya, FGV masih ada duit dan pendapatan kita juga stabil. Lagipun pembelian tanah ini akan dibiayai menerusi pelupusan pegangan FGV dalam AXA Affin.

“Langkah ini penting kerana kita perlukan tanah baharu untuk memperluaskan tanaman sawit berbanding tanah yang sudah dibangunkan dan boleh ditanam sendiri.

“Bagaimanapun, semua perbincangan ini masih di peringkat awal dan baru sahaja bermula. Jadi, kalau dapat harga yang bersesuaian, kita boleh pertimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan prestasi kewangan FGV bagi suku ketiga berakhir 30 September 2017 di sini hari ini.

Bagi tempoh tersebut, FGV mencatat keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM170 juta berbanding RM44 juta bagi tempoh sama tahun lalu disumbangkan oleh prestasi kukuh sektor perladangan, logistik dan lain-lain (LO).

Perolehan FGV juga meningkat lima peratus kepada RM12.7 bilion berbanding RM12.09 bilion tempoh sama tahun lalu.

FGV tahun lalu dilaporkan mahu melupuskan 16 peratus pegangan dalam AXA Affin dalam usaha menyusun semula operasi syarikat untuk memberi tumpuan kepada perniagaan teras.

Susulan itu, Affin Holdings Bhd. dalam makluman kepada Bursa Malaysia Ogos lalu, masih menunggu kelulusan Bank Negara Malaysia untuk membeli tambahan 7.07 peratus pegangan dalam AXA Affin dengan nilai RM99.09 juta.