Program yang dibangunkan dan dilaksanakan oleh FGV mampu melengkapkan generasi baharu Felda dengan kemahiran yang diperlukan dalam industri perladangan.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, dengan latihan yang telah dilalui, usahawan muda tersebut berupaya melaksanakan sebahagian tugasan yang sering diberikan kepada pihak ketiga.

Katanya, selain daripada kemahiran yang diperlukan untuk bekerja di dalam industri perladangan, para graduan muda juga diajar asas pengurusan perniagaan di Akademi FGV.

“Di samping itu, mereka juga telah dididik mengenai keperluan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan standard Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) untuk pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Kami merancang untuk menjadikan program ini sebagai sebahagian daripada komitmen Tanggungjawab Korporat (CR) untuk memberi lebih banyak peluang kepada komuniti setempat terutama yang kurang berkemam­puan. FGV komited untuk melahir­kan lebih ramai usahawan muda yang lebih berkemahiran untuk industri perladangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Program tersebut dilancarkan April lalu dan menerima 300 permohonan dari seluruh negara. Seramai 60 peserta telah dipilih untuk menjalani latihan di ladang FGV dan hanya 49 peserta berjaya menyempurnakan program yang berjalan selama enam bulan.

Antara program latihan termasuklah cara-cara mengendalikan bahan kimia dan bahan berbahaya yang biasa digunakan untuk merumput dan membaja.

Di ladang yang diurus dengan baik, mereka juga diajar me­ngenai proses-proses daripada mengendalikan ladang untuk menuai dan mengangkut buah tandan segar (BTS) ke kilang. Setiap pelatih ditugaskan kepada pengurus ladang yang menjadi mentor mereka.

Kos program selama enam bulan ditanggung sepenuhnya oleh FGV dan setiap peserta menerima elaun bulanan sebanyak RM1,150.

FGV turut membantu para peserta meneroka peluang pembiayaan perniagaan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tekun Nasional dan Agrobank. Para usahawan muda kemudiannya berpeluang menubuhkan syarikat secara berkumpulan atau individu dan mereka juga boleh mendapatkan tender daripada syarikat-syarikat lain.