China Grain terlibat da­lam pe­ngendalian, pengurusan rizab bijian dan minyak serta berperanan membeli, menyimpan, mengangkut, memproses dan mengurus penjualannya.

Sinograin yang mengeluarkan minyak makan da­ri­­pada kacang soya, minyak sawit dan lain-lain, kini berperanan mengedar dan menjual minyak tersebut menggunakan jenama sendiri terus ke pasaran domestik.

Ketika ini, Sinograin meng­import 700,000 tan metrik mi­nyak sawit setahun dan menjangkakan permintaannya terus meningkat se­iring dengan pertumbuhan ekonomi dan penduduk di China.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad, China merupakan pasaran minyak sawit mentah ketiga terbesar bagi Kumpulan FGV dengan eksport seba­nyak 308,040 tan metrik pada tahun lalu.

“Kami mahu mengembangkan­ lagi perniagaan di China dan saya percaya FGV dan Sinograin akan dapat memenuhi keperluan masing-masing bagi keuntungan bersama. Sinograin mempunyai akses kepada minyak makan seperti kacang soya dan rapeseed manakala FGV juga pula mempunyai akses kepada lebih tiga juta tan metrik minyak sawit.

“Sinograin memiliki kemudahan penyimpanan minyak makan dan minyak bijirin, kilang pemprosesan dan rangkaian pengedaran bertaraf dunia di China, dan FGV mempunyai kemudahan pengeluaran, kilang, penapisan dan penyimpanan minyak sawit bertaraf dunia di Malaysia dan Indonesia,” kata beliau.

Zakaria berkata, melalui MoU ini, FGV diharap mengembangkan lagi rangkaian pengedaran dan logistik di China menerusi pelbagai kemudahan penyimpanan, pemprosesan dan pengedaran strategik milik Sinograin.

Beliau menam­bah, pihak­nya­ juga boleh mengambil kesempatan da­­ripada penge­tahuan luas Sino­grain me­­nge­nai pasaran minyak boleh dimakan di China.

Zakaria berkata, pada masa sama, FGV berpeluang menginte­grasikan anak syarikat sedia ada FGV China Oils Ltd (FGVCO) di Dongguan, Guangdong dengan operasi domestic Sinograin untuk mencipta nilai tambah dan penjimatan kos kepada kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini juga bakal membolehkan FGV menerokai peluasan dalam kegiatan hiliran dalam pembekalan produk, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran minyak campuran, lelemak dan lelemak khusus dengan Sinograin,” tambah beliau.

China yang merupakan pengguna minyak sawit ketiga terbesar di dunia, menggunakan 5.05 juta tan metrik pada tahun 2016 berbanding hanya 2.02 juta tan metrik pada tahun 2001.

Zakaria percaya jumlah penggunaan minyak sawit di China mampu ditingkatkan dengan MoU itu melalui penggunaan kemudahan FGV di Dongguan, China selain membantu pemasaran produk di peringkat hiliran.– UTUSAN