KHAIRIL ANUAR AZIZ

Kempen itu telah bermula pada Sambutan Hari Peneroka 2017 baru-baru ini dan akan diteruskan di Pejabat Ladang Bera Selatan 1, Bera pada 8 Ogos; Pejabat Pentadbiran Pusat Penyelidikan Tun Razak (PPTR), Jengka (10 Ogos); Pejabat Ladang Besout 7, Trolak (15 Ogos) dan Pejabat Ladang Chiku 8, Chiku (17 Ogos).

Pegawai Bertanggungjawab FGV, Datuk Khairil Anuar Aziz (gambar) berkata, kebergantungan kumpulan terhadap tenaga kerja asing sangat tinggi iaitu lebih 35,000 orang seluruh negara, malah masih memerlukan lebih ramai pekerja bagi memastikan operasi harian berjalan lancar.

“Bukan mudah untuk membuang persepsi negatif generasi baharu terhadap kerjaya dalam sektor perlada­ngan tetapi sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, FGV akan terus komited untuk menggalakkan dan mengutamakan orang tempatan.

“Sejarah membuktikan Felda telah dibangunkan oleh rakyat tempatan dari hutan belantara hingga menjadi sebuah industri komoditi utama di Malaysia. Kami akan terus berusaha meningkatkan pengli­batan orang tempatan dalam sektor ladang dengan menambah baik pakej pembangunan kerjaya serta faedah-faedah terbaik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Antara faedah-faedah yang ditawarkan termasuk kadar gaji yang menarik, bayaran insentif, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso, cuti tahunan, perubatan, insurans dan elaun kepada semua petugas yang layak.

Selain bahagian perladangan, FGV juga menawarkan peluang kerjaya kepada generasi baharu Felda yang meminati unit beruniform menerusi anak syarikat, Felda Security Services Sdn. Bhd. yang ketika ini memiliki 3,000 anggota, sebahagian besarnya terdiri daripada anak-anak peneroka.

Tambah Khairil, usaha itu me­rupakan sebahagian daripada pelbagai aktiviti atau program tanggungjawab sosial korporat (CSR) FGV setiap tahun dalam memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat terutama peneroka Felda.

Kepada mereka yang berminat boleh memohon di pejabat-pejabat FGV berdekatan atau e-mel ke [email protected]

Untuk maklumat lanjut mengenai peluang kerjaya dan tarikh temuduga terbuka, sila layari laman sesawang FGV di www.feldaglobal.com dan Facebook www.facebook.com/feldaglobalofficial/.