Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

FGV bakal senaraikan anak syarikat

Zakaria Arshad
Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR 5 Mac - Langkah Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) melaksanakan rasionalisasi kumpulan di bawah Pelan Strategik FGV 2020 (SP20) bakal menyaksikan satu lagi penyenaraian anak syarikatnya dalam tempoh dua tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad berkata, cadangan itu dilaksanakan kerana mempunyai potensi pasaran yang tinggi dan juga sebahagian daripada langkah kumpulan untuk mewujudkan nilai pada masa hadapan.

Walaupun beliau tidak mendedahkan secara terperinci butiran syarikat berkenaan, Utusan Malaysia difahamkan ia daripada sektor perniagaan Logistik dan Lain-lain (LO) yang sebelum ini diletakkan di bawah sektor Perdagangan, Pemasaran, Logistik dan Lain-lain (TMLO).

Berdasarkan laman web FGV, terdapat tiga anak syarikat di bawah segmen logistik iaitu Felda Transport Service Sdn. Bhd., Felda Johore-Bulkers Sdn. Bhd. dan F.W.Q Enterprises (Pvt.) Ltd. (menerusi syarikat kerjasama atau syarikat bersekutu).

Zakaria menjelaskan, FGV akan memastikan sebelum penyenaraian itu dibuat, syarikat tersebut perlu mempunyai asas dan prestasi yang kukuh serta memiliki rekod yang baik.

“Bagaimanapun, ketika ini FGV masih lagi membuat kajian pasaran berhubung perkara berkenaan sebelum mengambil sebarang keputusan sama ada menyenaraikannya ataupun tidak.

“Langkah ini sememangnya ada dalam perancangan kami tetapi banyak kajian perlu dibuat terutama untuk melihat secara terperinci latar belakang syarikat berkenaan dan sejauh mana prestasinya setakat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Awal minggu lalu, pada pembentangan prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, FGV mengumumkan langkah rasionalisasi kumpulan yang menyaksikan operasi teras ditumpukan kepada tiga sektor utama iaitu Perladangan, Gula dan LO.

Langkah itu bagi meningkatkan fokus, ketelusan dan kebertanggungjawaban laporan oleh pihak pengurusan dan pada masa sama memperkukuhkan sinergi menerusi rantaian nilai sawit berintegrasi bagi bahagian huluan, pemprosesan dan aktiviti hiliran di bawah sektor perladangan.

Sebelum pelarasan itu dibuat, operasi teras FGV terbahagi kepada enam sektor utama iaitu Sawit Huluan, Sawit Hiliran, TMLO, Gula, Perkhidmatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Getah.

Pada 2010, FGV mengambil alih Malayan Sugar Manufacturing Company Bhd. (MSM Co.) dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. yang kemudiannya disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia setahun kemudian dan dikenali sebagai MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM Holdings).

Penyenaraian itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM796 juta dan merupakan anak syarikat pertama kumpulan FGV yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

FGV pula disenaraikan pada 28 Jun 2012 dan merupakan tawaran awam permulaan (IPO) ketiga terbesar di dunia pada waktu itu dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM10.4 bilion.

Menurut Zakaria, di bawah SP20, FGV menyasarkan untuk muncul sebagai peneraju perniagaan tani terkemuka dunia dan satu daripada usaha tersebut akan memastikan hasil buah tandan segar (BTS) mampu mencapai pengeluaran sebanyak 5.3 juta tan metrik setahun daripada ladang sedia ada dengan sasaran usia pokok antara 12 hingga 13 tahun.

Dalam masa sama, katanya aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) bukan lagi menjadi keutamaan kumpulan berikutan tamatnya perjanjian dengan Eagle High Plantations (EHP) pada Disember lalu.

“Sebaliknya kami akan terus memberi fokus kepada usaha memberi pulangan secara organik kepada pemegang saham termasuk pemegang saham utama, Felda yang secara langsung memberi manfaat kepada peneroka, kecuali terdapatnya keperluan strategik yang menarik untuk melakukan M&A” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain