Teori yang menyatakan pa­saran saham cenderung me­ngalami kejatuhan dahsyat da­lam bulan Oktober atau dipanggil kesan bulan Oktober (October Effect) hanya merupakan jangkaan psikologi di­sebabkan sejarah silam.

Sama seperti ungkapan ‘jangan main saham nanti rugi’ yang tercetus kesan daripada krisis kewangan Asia pada 1997 dahulu.

Kesan Oktober ini bermula di bursa saham Amerika Syarikat (AS) pada bulan Oktober tahun 1929 yang membawa kepada tercetusnya kejatuhan pasaran saham yang te­ruk atau Great Depression.
Juga pada 19 Oktober 1987, indeks pasaran saham AS atau Dow Jones Industrial Average (DJIA) jatuh sebanyak 22.6 peratus dalam satu hari dagangan.

Daripada beberapa siri kejatuhan pada bulan Oktober, maka pelabur seluruh dunia agak berhati-hati apabila memasuki pasaran pada bulan ini. Selain siri kejatuhan pasaran saham dunia, beberapa peristiwa besar yang mempengaruhi pasaran juga sering berlaku dalam bulan Oktober ini.

Justeru, bulan Oktober selalu dikaitkan dengan sentimen pasaran yang mengalami fasa kejatuhan agak lama atau bearish market, kemelesetan ekonomi disebabkan oleh laporan kewangan suku tahunan syarikat tersenarai yang tidak memberangsangkan serta terjadinya apa-apa peristiwa yang mengganggu-gugat sentimen pasaran dalam bulan ini.

Berdasarkan kepada faktor-faktor ini, maka pelabur dan pedagang saham akan menjauhkan diri daripada me­masuki pasaran atau melupuskan pegangan saham sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko pelaburan yang bakal dihadapi sekiranya berlaku sesuatu yang menjejaskan sentimen pasaran.

Terdapat juga yang melupuskan pegangan saham lebih awal lagi iaitu pada bulan September. Maka ini sudah tentu menjadikan pasaran semakin menurun menjelang awal bulan Oktober.

Oleh kerana kedatangan Oktober ini petanda kalendar telah memasuki penghujung tahun, maka tindakan untuk melupuskan pegangan menjadi semakin berkesan dan sekiranya penjualan besar-besaran yang berterusan terjadi, pasaran akan mengalami fasa penurunan atau bearish.

Pengurus dana serta pengurusan aset juga akan mengemas kini portfolio pelaburan yang mana syarikat tidak menepati kriteria di dalam senarai portfolio akan dilupuskan dan juga sebagai aktiviti pengambilan untung ke atas pelaburan yang dibuat di awal tahun serta tujuan untuk peng­agihan dividen kepada pemegang saham atau pelabur.

Jika kita melihat prestasi indeks pasaran Bursa Malaysia atau indeks FBM KLCI pada bulan September yang lepas, paras tertinggi yang dicapai pada bulan tersebut ialah 1,789 mata.

Dari segi carta pergerakan indeks FBM KLCI ini, ia merupakan satu aliran menurun dan pada kolum ini ditulis, indeks FBM KLCI berada pada paras 1,757 mata. Ini menunjukkan bahawa indeks FBM KLCI telah jatuh sebanyak 32 mata.

Adakah penurunan ini disebabkan fenomena October crash seperti keterangan di atas tadi?

Kita masih berada di awal bulan Oktober tetapi keadaan aliran menurun yang memberikan petanda awal fenomena tragedi Oktober atau October crash yang mana pelabur dan pedagang saham mula menjauhkan diri daripada mema­suki pasaran serta aktiviti penjualan saham menjelang akhir tahun.

Satu lagi peristiwa yang bakal berlaku ini ialah pengumuman tentang belanjawan negara. Kebiasaannya sebelum pengumuman belanjawan negara terdapatnya satu pergerakan yang cergas yang dipanggil sebagai budget rally.

Ia merupakan satu penggiliran sektor tertentu yang mendominasikan gelanggang saham-saham aktif atau saham-saham untung.

Kepada pelabur dan pedagang berpengalaman, mereka telah sinonim dan menghafal trend atau corak pergerakan saham sepanjang tahun yang le_bih kurang menghasilkan corak pergerakan sama.

Kaunter-kaunter cergas yang bertindak balas kesan daripada pengumuman belanjawan tahunan yang bakal diisytiharkan pada bulan Oktober ini biasanya terdiri dari saham-saham syarikat milik kerajaan (GLC).

Dan semasa hari belanjawan negara diumumkan, pasaran keseluruhan akan jatuh. Kaun­ter-kaunter jatuh akan lebih banyak daripada kaunter naik. Ia seolah-olah sama seperti keadaannya ungkapan ‘buy on rumours, sell on news’.

Maka, setelah sesuatu berita disiarkan, maka pelabur dan pedagang saham yang taksub tentang ungkapan ini akan segera menjual pegangan mereka. Apakah bulan Oktober ini akan berlakunya October crash?

Kita tunggu dan lihat.

Kepada yang ingin mempelajari cara-cara melabur di pasaran saham Bursa Malaysia boleh mengisi borang pendaftaran di http://tinyurl.com/investrade2017