SHAHRIR ABDUL SAMAD

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, laporan prestasi kewangan tersebut turut mencatatkan keuntungan yang diraih daripada segi kadar pertukaran mata wang menerusi pelupusan aset.

“Selain nilai keuntungan yang bertambah, kita (Felda) turut mencatatkan untung daripada segi kadar pertukaran mata wang.

“Bagi penjualan aset di London, pen­jualan­nya akan dibuat secara tender terbuka dan kini dalam penilaian se­penuhnya daripada syarikat penilaian di UK,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantu­an Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Raya Desa Belantik, Taman Sri Stulang, di sini hari ini.

Sementara itu, Shahrir berkata, Felda tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melakukan pembelian aset atau pelaburan baharu dalam tempoh terdekat, sebaliknya mahu memperkemaskan semula pelaburan sedia ada.

“Pada masa ini, apa yang mustahak buat Felda ialah untuk mengemaskan semula pelaburan sedia ada dan mahu mendapatkan pulangan daripada pelaburan yang sudah kita bu­at,” katanya.

Mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi amaran kepada ahli politik luar supaya tidak mencampuri urusan negeri ini, Shahrir menyifatkan tindakan pihak pembangkang itu hanyalah bertujuan menimbulkan kemarahan rakyat di negeri ini.

Shahrir yang juga Ahli Majlis Penasihat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) turut menemplak bekas Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamed yang menggunakan isu projek pembangunan wilayah Iskandar Malaysia sebagai agenda utamanya.

“Dari awal lagi dia (Mahathir) tidak setuju dengan pembangunan wilayah di selatan Johor dan sebab itulah dia mula memburukkan kesan pembangunan tersebut.

“Dalam tempoh 10 tahun lalu, dia mendakwa pembangunan wilayah selatan ini akan mengakibatkan orang Johor kehilangan tanah dan orang Singapura akan membeli semua tanah di sini namun apa yang kita lihat, keadaan itu tidak berlaku,” katanya.