Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Operasi FatBerry, Martin Khu berkata, berbeza dengan platform sedia ada lain, pengguna berpeluang untuk membandingkan harga dan membeli produk daripada sebanyak sembilan penyedia insurans.

“Menggunakan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API), FatBerry mampu mendapatkan data pelanggan seperti cukai jalan dengan cepat sekali gus mendapatkan produk insurans dalam hanya dua minit, tanpa perlu mengisi dokumen.

“Menerusinya juga, penyedia insurans akan menjadi lebih kompetetif dalam menawarkan produk dengan harga terbaik, ini akan memberi kelebihan kepada pengguna sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sembilan penyedia insurans itu adalah AmGeneral Insurance, Allianz General Insurance, Tune Protect, Lonpac Insurance, Etiqa Insuran & Takaful, Tune Protect, Zurich Insurance Group, MSIG Insurance, dan RHB Insurance.

Menurut Khu, FatBerry ketika ini menawarkan tiga insurans awam iaitu motor, perjalanan dan kemalangan peribadi, selain merancang dua lagi kategori iaitu insurans rumah dan kandungan serta komersial pada tahun ini.

“Marjin bagi insurans rumah dan kandungan adalah rendah buat ejen konvensional, jadi mereka selalunya mengelak daripada mempromosikan produk itu, namun bagi FatBerry, kami mampu bermain secara bilangan dan jumlah,” ujarnya.