Ia adalah kebocoran terburuk mengambil kira tahap potensi aksesnya yang belum pernah terjadi sebelum ini, sambil menambah kepada tahun yang makin sukar kepada reputasi syarikat tersebut.

“Saya sangat takut sekarang. Semua aktiviti saya ada di Facebook,” kata Mohammad ZR Zia, pelajar kolej berusia 25 tahun di Kuala Lumpur yang menggunakan platform itu sejak 2009, kepada Reuters. Akaun Facebooknya telah di log keluar pada Jumaat.

Facebook yang mempunyai lebih 2.2 bilion pengguna aktif bulanan berkata, ia tidak dapat menentukan sama ada penye­rang telah menyalahgunakan mana-mana akaun, atau mencuri maklumat peribadi.

Ia juga masih belum me­ngenal pasti lokasi penggodam terbabit, atau mungkin terdapat mangsa tertentu yang sudah disasarkan.

Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg menyifatkan kejadian itu sebagai ‘isu keselamatan yang serius’ dalam satu panggilan persidangan dengan pemberita.

Saham Facebook menjunam tiga peratus dalam sesi daga­ngan petang Jumaat, memberi kesan kepada indeks utama saham Wall Street.

Facebook pada awal tahun ini menjadi tumpuan selepas data terhad sejumlah 87 juta pengguna diakses secara tidak wajar oleh Cambridge Analytica, sebuah perundingan politik.

Pendedahan itu telah mendorong kepada siasatan kerajaan terhadap amalan privasi syarikat itu di seluruh dunia, selain mendorong gerakan sosial #deleteFacebook dalam kala­ngan pengguna.

Penggubal undang-undang di Amerika Syarikat (AS) berkata pada Jumaat, kebocoran data itu boleh meningkatkan usaha ke arah mengukuhkan undang-undang privasi data.

“Ini adalah satu lagi petunjuk bahawa kongres perlu mengambil tindakan untuk melindungi privasi dan keselamatan pengguna media sosial,” kata Senator AS, Mark Warner dalam kenyata­an. – Reuters