AAE Travel adalah usaha sama yang dibentuk oleh AirAsia dan Expedia pada Mac 2011 dan yang mana Expedia memegang 75 peratus ekuiti sejak 2015.

Dalam satu kenyataan bersama, AirAsia dan Expedia berkata, jumlah itu akan dipenuhi pembelian serentak domain AirAsiaGo.com dan aset yang berkaitan oleh AirAsia daripada AAE Travel Pte. Ltd.

“AirAsia telah menjadi rakan kongsi yang hebat sejak tujuh tahun lepas, membantu menubuhkan Brand Expedia Brand sebagai pemain yang kukuh dan semakin relevan di rantau Asia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Expedia, Mark Okerstrom.

AirAsiaGo.com, yang menawarkan produk perjalanan lengkap, termasuk penerbangan dan pakej hotel AirAsia yang menampilkan kandungan penginapan Expedia, akan terus diperkasa oleh Expedia.

Okerstrom berkata, memperoleh pemilikan penuh AAE Travel mencerminkan keyakinan kumpulan itu terhadap potensi besar pasaran pelancongan Asia yang bernilai lebih AS$485 bilion (RM1.98 trilion).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, hasil daripada jualan itu akan digunakan untuk membangunkan produk unicorn besar seperti BigPay, Travel 360, Redbox Logistics dan Ourshop. - BERNAMA