Pengerusinya, Datuk Mat Noor Nawi berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, Exim Bank menyediakan pembiayaan sehingga RM200 juta kepada usahawan yang berminat.

“Di bawah TPPA kita akan terus memainkan peranan selaras dengan hasrat kerajaan yang menggalakkan usahawan tempatan memperluaskan pasaran mereka ke peringkat antarabangsa.

“Sehingga kini, kita ada 400 pelanggan yang telah menikmati kemudahan ini dan kebanyakan mereka adalah pengeksport,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Wang Zakat Kepada Golongan Asnaf di kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lubok Setol di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Orang Kota Baharu (POKB) Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad; Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak), Datuk Mohd. Faizal Daud dan Pengerusi KRT Lubok Setol Aziz Seman.

Pada majlis tersebut seramai 150 golongan asnaf menerima sumbangan zakat yang berjumlah RM800 setiap orang.

Pada 4 Februari lalu, Malaysia dan 11 negara lagi iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam menandatangani TPPA yang akan mengembangkan pasaran, mengurangkan tarif serta menggalakkan perdagangan lebih bebas.

Mat Noor memberitahu, sehingga kini pihaknya mempunyai wakil di tiga buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

“Syarat untuk menikmati pembiayaan ini masih lagi sama, ia tidak berubah walaupun perlaksanaan TPPA sudah pun bermula,” ujarnya.

Mengulas mengenai sumbangan zakat itu, Mat Noor berkata, pihaknya berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan bagi membantu meringankan perbelanjaan penerima yang juga golongan miskin.

Sebagai sebuah syarikat korporat ujar beliau, Exim Bank akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan menerusi program tanggungjawab sosial korporat.