Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana Geely terbukti mempunyai rekod yang baik dan merupakan satu daripada syarikat automotif utama di China.

Katanya, kerajaan berharap dengan penglibatan Geely itu secara tidak langsung dapat me­nyuntik penambahbaikan secara berterusan untuk model-model keluaran Proton pada masa depan.

“Keupayaan Geely boleh dilihat apabila jualan kenderaannya di pasaran China berkembang 50 peratus tahun lalu kepada 766,000 unit. Malah, pengambilalihan ke atas Volvo pada 2010 juga mencatat kejayaan apabila merekodkan jualan sebanyak 540,000 unit tahun lalu, peningkatan lebih 200,000 unit sejak 2009, sebelum pengambilalihan itu dilaksanakan.

“Dengan melihat kepada pencapaian Geely ini, sudah pasti ia berupaya memberi lonjakan kepada prestasi jualan Proton dan untuk kembali untung. Saya pasti, perkembangan ini amat dinanti-nantikan oleh 350 pengeluar alat ganti dan komponen serta vendor yang berkaitan dengan perkhidmatan dan sokongan di bawah ekosistem Proton,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) mencapai persetujuan dengan Geely bagi membolehkan syarikat tersebut membeli seba­nyak 49.9 peratus saham dalam Proton dan 51 peratus pe­gangan ekuiti dalam syarikat pembuat kereta dari Britain, Lotus.

Proton melupuskan 100 peratus kepentingan dalam Lotus melibatkan jumlah bernilai 100 juta pound (RM556.7 juta) dengan lagi 49 peratus kepentingan dimiliki oleh Etika Automotive Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh Etika Strategi Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam DRB-Hicom.

Geely Holding, pemilik Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company, adalah antara pengeluar utama kende­raan penumpang China. Syarikat tersebut mempunyai operasi di seluruh dunia merangkumi 16 kilang pembu­atan, tujuh studio reka bentuk serta lima pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut Mustapa, Lotus yang dibeli Proton pada 1996 bergelut dengan masalah kewangan dan berharap pengambilalihan oleh Geely dapat melon­jakkan penglibatan Lotus sebagai pembuat kereta sports di peringkat global.

“Dengan pelupusan sepenuhnya pegangan dalam Lotus turut menyaksikan Proton mengetepikan cabaran utama yang dihadapi syarikat tersebut kira-kira satu dekad,” katanya.

Beliau berkata, sejak pengenalan Dasar Automotif Negara (DAN) pada 2006, kementerian sentiasa berinteraksi dengan semua pengeluar kenderaan termasuk Proton untuk meningkatkan eksport ke rantau ini dan seluruh dunia.

“Prestasi eksport kenderaan kita sebenarnya amat suram de­ngan hanya 33,438 unit dieksport sepanjang tahun lalu. Proton pula hanya mengeksport 301 unit pada tahun lalu, sedangkan sebelum ini jumlah eksportnya sekitar 20,000 unit setahun.

“Jadi, kami berharap dengan kerjasama ini, eksport Proton akan melonjak apatah lagi Geely mampu menyediakan platform untuk memasuki pasaran China terutama bagi pemanduan kanan di rantau Asia Tenggara,” katanya.