1. Tidak semua perkara yang mereka tahu, tetapi mereka mengambil tahu.

Mereka tahu dengan baik tentang produk, kualiti produk yang ada, proses dalaman yang efektif, siapa sasaran pelanggan mereka, kos yang ada, harga bagi setiap produk yang perlu diletakkan dan berapa keuntungan yang bakal diperoleh untuk setiap satu. Namun, terdapat beberapa bahagian dalam perniagaan yang keba­nyakan daripada mereka tidak mahir. Di antaranya ialah perakaunan, strategi perniagaan jangka pendek dan jangka panjang, hal yang berkaitan sumber manusia dan juga pemasaran.

Memandangkan perkara-per­kara yang mereka tidak tahu ini agak kompleks, mereka bertindak untuk mengambil tahu kerana kesemua ini amat pen­ting untuk kelangsungan perniagaan. Mereka tidak ter­agak-agak untuk mengeluarkan modal bagi mempelajari setiap topik-topik tadi. Mereka sanggup berbelanja untuk pengetahuan daripada mengeluarkan belanja yang le­bih banyak apabila sesuatu kesilapan itu berlaku dan kes tersebut akan menjadi terlalu besar untuk diselesaikan. Apabila kes menjadi terlalu besar, ia akan menjadi lebih mahal.

2. Produk sangat memainkan peranan.

Tidak pernah ada dalam dunia ini mana-mana perniagaan yang berjaya dan mempunyai pelanggan yang ramai kerana mempunyai produk atau perkhidmatan yang tidak berkualiti. Kualiti produk memainkan peranan penting da­lam kejayaan mana-mana per­­niagaan sekalipun, jadi me­reka akan menitik beratkan kualiti produk, perkhid­matan dan juga setiap proses yang ada. Apabila kesemua elemen-elemen ini berkualiti, dengan sendirinya pengalaman akan menjadi lebih manis untuk setiap pelanggan ketika menggunakan produk mereka.

Menurut pakar pemasaran terke­nal Guy Kawasaki, 90 pera­tus faktor yang mempengaruhi keputusan pembelian produk ialah kualiti produk tersebut. Hanya 10 peratus sahaja faktor yang mempengaruhi pembe­lian datang daripada pemasaran atau iklan yang dilihat.

3. Imej perniagaan perlu kelihatan kukuh dan besar.

Bagi mereka, penjenamaan syarikat mereka sangat penting. Ia perlu mendapatkan kepercayaan orang ramai. Untuk dapatkan kepercayaan orang, ia perlu dilihat kukuh, stabil, kelihatan besar dan seolah-olah sudah wujud bertahun-tahun lamanya. Jadi pemilihan alamat, nama jenama dan produk, logo dan sebagainya amat penting. Memandangkan mereka tidak berapa faham tentang penjenamaan, mereka sanggup mengeluarkan pelaburan sedikit untuk mendapatkan langkah kanan.

4. Tahu bagaimana dan di ma­na sepatutnya bajet perlu dibelanjakan.

Dengan modal yang terhad, tidak banyak yang mereka boleh lakukan dengan bantuan pakar-pakar luar. Malah, hendak menggaji orang pun masih belum mampu. Oleh itu, kebanyakan kerja perlu dilakukan sendiri untuk memaksimumkan produktiviti yang ada. Strategi pemasaran juga terkena tempias ini. Mereka tidak mampu untuk mencetak pelbagai bentuk poster dan menyewa papan-papan tanda gergasi di tepi lebuh raya bagi mendapatkan perhatian. Kos untuk ini sahaja terlalu mahal. Tetapi mereka juga tidak mahir tentang pemasaran yang menggunakan kaedah yang murah iaitu pemasaran digital.

Dengan bajet yang ada, mereka hanya boleh lakukan kesemuanya sendiri. Namun, keperluan untuk mendapatkan perhatian sangat mendesak. Jadi mereka tahu yang mereka harus mengeluarkan juga sedikit modal untuk belajar bagaimana untuk membuat kandungan, menggunakan media sosial, mendapatkan trafik dan sebagainya bagi mendapatkan jualan.

5. Komuniti sangat membantu dalam jualan.

Mereka sedar bahawa setakat mempunyai pengikut di media sosial sahaja tidak mencukupi. Mereka perlu pengikut yang percaya dengan produk mereka, kebolehan mereka, wawasan me­reka dan faham dengan kesusahan perjalanan mereka. Mereka perlukan pengikut yang percaya dengan jenama mereka. Kerana mereka tahu lebih besar komuniti se­perti ini bersama-sama mereka, pe­luang untuk mendapatkan jualan yang konsisten adalah tinggi.

6. Jutawan senyap.

Mereka tidak perlu tayang kemewahan mereka kepada orang lain. Mereka gembira dengan apa yang ada, sangat selesa de­ngan melayari kehidupan yang sederhana. Tidak kelihatan terlalu susah, takut-takut nanti para pelanggan tidak akan percaya dengan produk mereka lagi. Mereka juga tidak gemar untuk dilihat terlalu mewah, mungkin kerana takut disantau atau takut ramai pula yang akan mengaku saudara nanti. Bagi mereka, apabila komitmen bulanan mereka tidak tinggi, maka lebih mudah untuk memperkembangkan lagi perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik.