Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, ketika ini terdapat lapan kilang IBS sudah beroperasi di negeri ini termasuk yang terbesar dan berteknologi tinggi di Forest City dekat Ge­lang Patah.

Beliau berkata, pembinaan keempat-empat kilang baharu itu juga dijangka dapat menyediakan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan dalam sektor berke­naan.

"Terdapat permohonan untuk mendirikan empat kilang lagi dan saya akan kenal pasti kawasan yang didirikan kilang itu supaya kedudukannya berterabur bagi menyediakan peluang pekerjaan.

"Memandangkan kebanyakan kilang IBS sedia ada kini tertumpu di Muar dan bandar raya ini, maka kilang baharu tersebut dilihat sesuai dibina di daerah lain seperti Mersing, Kluang dan Segamat," katanya semasa merasmikan Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan di sini hari ini.

Seramai 250 pelatih ABM Wilayah Selatan menerima Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) pada majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali; Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Selatan, Supian Musa.

Osman berkata, IBS yang dihasilkan ketika ini bukan sahaja bagi kegunaan tempatan, malah dieksport ke luar negara kerana mendapat permintaan tinggi dari Singapura.

"Kalau hendak eksport mela­lui pelabuhan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Tanjung Langsat dan Pasir Gudang pun dekat, kebanyakan pembeli kita adalah Singapura.

"Kalau pihak Singapura boleh membeli IBS daripada kita, maknanya kualiti kita diterima. Justeru, pengguna tempatan jangan bimbang dengan IBS kita kerana orang luar juga menggunakannya dan mengiktirafnya," kata beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, Osman berkata, kerajaan nege­ri mengalu-alukan usaha CIDB dalam melaksanakan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) bagi meningkatkan prestasi sektor pembinaan dalam tempoh lima tahun, iaitu pada 2016-2020.

Beliau berkata, kerajaan ne­ge­ri sentiasa memberi sokongan dan bersedia bekerjasama de­ngan CIDB dalam memastikan projek pembinaan di negeri ini sejajar dengan matlamat yang digariskan dalam CITP.

Sementara itu, Ahmad Tajuddin berkata, hingga kini lebih 300,000 personel binaan telah dilatih di enam cawangan ABM di seluruh negara termasuk 90,000 di ABM Wilayah Selatan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 14,108 pelatih merupakan lepasan sekolah mene­ngah.