Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, prestasi cemerlang tersebut disumbangkan daripada Dana Ekuinas Direct (Tranche I) dengan Kadar Pulangan Dalaman Kasar (IRR) sebanyak 19.6 peratus dan IRR bersih tahunan sebanyak 15.3 peratus sekali gus membuktikan pertumbuhan yang aktif oleh Ekuinas.

Tambahnya, dana kedua pula, Dana Ekuinas Direct (Tranche II), juga menunjukkan kedudukan yang menggalakkan apabila Pulangan Kasar Portfolio mencatatkan jumlah RM148.4 juta di samping IRR sebanyak 31.9 peratus dan IRR bersih tahunan mencecah 19.3 peratus.

“Kami gembira dapat mengekalkan prestasi yang kukuh sepanjang lima tahun beroperasi dan sebagai usaha untuk maju seiring dengan dana yang terus matang, Ekuinas akan sentiasa berusaha dalam mempercepatkan inisiatif merealisasikan pelaburan untuk mengekalkan kedudukan dana.

“Malah, pada masa yang sama kami juga akan menggiatkan usaha dalam mengenal pasti syarikat-syarikat berpotensi besar dan membina keupayaan serta nilai transformasi ke dalam syarikat portfolio kami untuk menjana penciptaan nilai jangka panjang yang mapan,” katanya ketika berucap dalam sesi pembentangan Laporan Kewangan Tahun 2014 Ekuinas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Pada tahun lalu, Ekuinas berjaya melaksanakan pelaburan dengan jumlah komitmen sebanyak RM605.8 juta dalam sembilan pelaburan tambahan menerusi pelaburan langsung dan program penyumberan luar.

“Perkara ini termasuklah enam pelaburan langsung dengan modal komitmen bernilai RM542.1 juta terdiri daripada pelaburan susulan dalam Revenue Valley Group dan San Francisco Coffee, Coolblog, Tenby Schools, Orkim Sdn. Bhd., Produk Petroleum Bersih (CPP) dan Tranglo Sdn. Bhd.,” ujarnya.

Tambah Abdul Rahman, dari segi pencapaian objektif sosial, Ekuinas berjaya meningkatkan Nilai Ekuiti Bumiputera dalam portfolio syarikat sebanyak RM4.2 bilion atau 1.9 kali dari modal yang dilabur.

Selain itu, Jumlah Nilai Pemegang Saham bagi semua syarikat portfolio turut menunjukkan peningkatan positif sebanyak RM5.5 bilion atau 2.4 kali modal yang dilabur sekali gus mencerminkan kejayaan model Ekuinas yang berupaya meningkatkan kekayaan bukan hanya untuk bumiputera malah untuk semua rakyat negara ini.

Ekuinas ditubuhkan pada September 2009, bertujuan menyediakan modal persendirian kepada syarikat bumiputera bersaiz sederhana yang berpotensi bagi mentransformasikan syarikat berkenaan untuk menjadi peneraju pada masa hadapan, selaras dengan agenda bumiputera negara.

Setakat ini, Ekuinas telah membuat 30 pelaburan dalam syarikat-syarikat berpotensi tinggi tempatan dengan jumlah melebihi RM2.3 bilion, selain menyediakan peluang kepada 356 pengurus dan 11,841 kakitangan yang kebanyakan adalah masyarakat bumiputera.