Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, syarikat itu memiliki kehadiran serantau yang kukuh dan pihak­nya masih di peringkat perbincangan serta akan membuat pengumuman tidak lama lagi mengenai perkara tersebut.

Selain itu, katanya, syarikat juga masih mengintai peluang untuk melabur di dalam segmen minyak dan gas (O&G) dan melihat tidak terlambat untuk me­ngurangkan pendedahan terhadap segmen itu buat masa ini.

Jelas beliau, sejak ditubuhkan, Ekuinas telah melaksanakan 53 pelaburan kumulatif melalui Program Pelaburan Langsung dan Penyumberan Luar berjumlah hampir RM3 bilion.

“Bersama-sama modal swasta, syarikat telah menggerakkan penempatan modal sebanyak RM3.6 bilion yang memberi kesan positif buat ekonomi Malaysia.

“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, Ekuinas melaksanakan komitmen pelaburan sebanyak RM172.6 juta dalam tujuh pelaburan langsung dan penyumberan luar termasuk dua pelaburan langsung dengan komitmen modal yang terikat sebanyak RM123.2 juta,” katanya dalam majlis pengumuman keputusan kewangan Ekuinas di sini hari ini.

Ekuinas berjaya meningkatkan nilai ekuiti bumiputera melalui aktiviti pelaburannya sebanyak RM3.9 bilion atau 1.4 kali modal dilabur bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian berkaitan kerajaan itu juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM5.6 bi­lion atau dua kali modal dilabur dalam jumlah nilai pemegang ­saham.