Itu antara kenyataan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora A. Manaf semalam, berhubung langkah­ institusi perbankan terbesar negara itu untuk terus mengambil pekerja baharu meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

Kenyataan itu sudah tentu melegakan banyak pihak khususnya lepasan universiti yang masih mencari pekerjaan. Penulis mengetengahkan isu ini kerana ia ada hubungkait de­ngan satu mesej yang penulis terima semalam dan tular di laman sosial.

Mesej itu berkaitan tekanan dan kos hidup rakyat yang dikaitkan dengan ketidaktentuan ekonomi. Apa yang mengecewakan ialah, penulisnya tanpa kajian mendalam, secara semberono menyalahkan keraja­an kononnya tidak bertindak sewajarnya bagi membantu rak­yat yang terus berdepan tekanan kos hidup. Tidak kurang juga mesej-mesej yang menu­ding jari kepada pemimpin ter­tentu yang didakwa bermewah-mewah ketika rakyat terus dihimpit kos rasa hidup.

Lebih memburukkan keada­an, ada pula pihak yang seolah-olah menyemarakkan sentimen dalam kalangan rakyat se­hingga sanggup mengajak mereka mengadakan perhimpunan jalanan semata-mata untuk menyuarakan rasa tidak puas hati. Adakah perhimpunan jalanan dapat menyelesaikan masalah ketidaktentuan ekonomi yang dihadapi oleh dunia sekarang?

Dalam konteks nasional, mungkin pihak terbabit tidak sedar bahawa pelbagai usaha telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan Malaysia dan rak­­yatnya terus berdaya tahan meng­hadapi ketidaktentuan eko­nomi global yang sebenar­nya di luar kawalan kita. Bukan hanya Malaysia, banyak negara lain berdepan tekanan ekonomi sehingga menyebabkan ramai yang terpaksa diberhentikan kerja.

Di Malaysia, pembuangan pekerja secara beramai-ramai masih tidak berlaku. Walaupun ada diberhentikan, tetapi tidak seburuk yang berlaku di setengah-setengah negara. Malah, di pihak kerajaan sendiri seingat penulis belum pernah melakukan pemberhentian kakitangan awam akibat kegawatan atau ketidaktentuan ekonomi. Sebaliknya, bilangan kakitangan awam di negara ini terus me­ningkat saban tahun.

Banyak pihak termasuk pe­nganalisis ekonomi, firma penyelidikan dan badan antarabangsa menjangkakan ekonomi Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan lebih baik pada separuh kedua tahun ini, selepas merekodkan pencapaian melepasi jangkaan pada separuh pertama.

Pelaksanaan pelbagai projek mega khususnya dalam sektor pembinaan infrastruktur dijangka antara pendorong utama pertumbuhan tersebut. Ini belum mengambil kira kemasukan berterusan pelabur asing ke Malaysia di sebalik pelbagai persepsi buruk yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab terhadap negara.

Selain itu, pelbagai rancang­an pembangunan dijangka diumumkan oleh kerajaan dalam Bajet 2018 akan datang, yang pastinya rakyat antara agenda utama.

Ekonomi negara yang terus rancak ini sudah tentu memerlukan tenaga kerja baharu dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan khususnya generasi muda. Dalam konteks ini, para majikan perlukan menyahut seruan kerajaan dengan mengutamakan rakyat tempatan untuk mengisi sebarang jawatan yang ada.

Berdasarkan rekod yang di­keluarkan Jabatan Perangkaan, kadar penyertaan tenaga buruh pada Mei lalu adalah 67.8 peratus, meningkat 0.1 peratus berbanding bulan sebelumnya, sementara 32.2 peratus lagi berada di luar tenaga buruh iaitu penduduk umur bekerja (15-64 tahun) terdiri daripada suri rumah, pelajar, pesara, hilang upaya dan tidak berminat untuk bekerja.

Jika perangkaan ini dan jangka hayat rakyat Malaysia diambil kira, masih terdapat banyak peluang pekerjaan dan tenaga kerja di dalam negara.

Justeru, sebarang persepsi buruk perlu dielakkan agar ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan mampan sebagaimana dijangkakan. Kesannya nanti pasti dapat dinikmati oleh rakyat seluruhnya.