Pada mulanya, beliau tidak percaya namun terdapat beberapa kajian telah dilakukan di negara matahari terbit itu, sekali gus menjentik idea untuk menjalankan kaji selidik di Malaysia.

“Bila saya pulang ke Malaysia, saya menjalankan penyelidikan bersama-sama pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dari situ dapat mengetahui dengan lebih mendalam apa kebaikan fiber batang sawit ini berbanding fiber yang terdapat dalam bahan-bahan lain,” kata Pengarah Urusan Palm Fiber Sdn., Bhd., Mohd. Suhaidi Jaapar kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Palm Fiber memasarkan produk minuman fiber berasaskan sawit, EG Fiber yang mampu membantu sistem pencernaan dan syarikat berkenaan juga me­rupakan penerima geran program Sirim -Fraunhofer.

Mohd. Suhaidi berkata, pihaknya bersedia memasarkan produk minuman kesihatan itu kerana yakin dengan kualiti dan potensinya membantu orang ramai mengekalkan tahap kesihatan tubuh.

Beliau yang merupakan graduan kejuruteraan mekanikal dari Institut Kemahiran Mara berkata, penghasilan minuman EG Fiber sebenarnya menyelesaikan masalah batang sawit yang kebanyakannya dibuang dan lambat reput.

“Bahan ini mengambil masa yang sangat lama untuk reput dan melalui kaedah ini kita secara tidak langsung dapat membantu ekosistem bergerak de­ngan lebih holistik.

“Palm Fiber pula menggunakan batang sawit yang berumur 24 tahun ke atas bagi penghasilan produk-produk kami,” ujarnya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan EG Fibre, Mohd. Suhaidi berkata, pihak­nya kini giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan UTM bagi menghasilkan beberapa produk lain yang berasaskan batang sawit.

Katanya, syarikat menyaksikan banyak permintaan terhadap produk minuman EG Fibre ter­utama daripada pasaran China.

“Kami juga aktif mengikuti pameran perdagangan antarabangsa bagi tujuan promosi dan pemasaran.

“Untuk tahun ini, kami juga menyasarkan untuk melancarkan produk minuman dalam beberapa perisa berbeza yang dapat memikat selera pengguna di luar sana,” katanya.

EG Fibre merupakan 100% produk organik berasaskan batang sawit

Hasil kajian dan penyelidikan oleh UTM dan analisis dilakukan oleh MARDI

Produk 
telah dipatenkan melalui MyIPO

Palm Fiber memasarkan produk minuman fiber berasaskan sawit, EG Fiber

Banyak permintaan dari China