Ketua Pegawai Serantau, Pasaran Pertumbuhan edotco Group, Phillip Wong berkata, kumpulan menyasarkan untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di negara berkenaan dan pengambilalihan baru-baru ini diluluskan oleh Pengawal Selia Telekomunikasi Kemboja.

Katanya, ia membolehkan kumpulan memanfaatkan permintaan pasaran Kemboja yang tinggi untuk meningkatkan kapasiti rangkaian dan kelajuan berikutan pertumbuhan kukuh rangkaian mudah alih 4G di negara tersebut.

“Pembelian ini mengukuhkan komitmen edotco untuk mela­bur di Kemboja sebagai pasaran utama, membolehkan kami meli­batkan diri dalam perkongsian dengan pengendali rangkaian mudah alih tempatan.

“Kerjasama ini lebih berkesan apabila pengendali rangkaian mudah alih memperkenalkan infrastruktur boleh kongsi dan me­ningkatkan ketersediaan rangkaian di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kemboja menyaksikan pe­ningkatan permintaan pasaran bagi kapasiti rangkaian yang lebih besar dan kelajuan yang lebih tinggi sebagai akses kepada rangkaian mudah alih 4G.

Ujar Phillip lagi, kerjasama rapat dengan peserta rangkaian tempatan kekal sebagai strategi utama mereka dalam memba­ngunkan infrastruktur telekomunikasi di negara ini.

“Kami mengakhiri tahun ini dengan penambahan menara telekomunikasi, kami akan terus mempelbagaikan sumber perolehan kami di Kemboja dan membolehkan kumpulan memasuki 2019 dengan lebih kuat.

“Sejak 2013, kumpulan memiliki lebih 2,600 menara telekomunikasi di Kemboja dengan 1,000 lagi menara yang diuruskan melalui pelbagai perkhidmatan disediakan,” katanya.

Pada masa akan datang, edotco akan terus memberi tumpuan kepada menyediakan infrastruktur boleh dikongsi di Kemboja termasuk teknologi generasi akan datang seperti sel-sel kecil dan tiang lampu pintar.