Menurut jurucakap ECRL, arahan itu bagi membolehkan kerajaan membuat rundingan dan kajian semula terhadap projek tersebut yang setakat ini sudah mencapai 14 peratus pembinaan.

“Dengan pemberhentian projek ini, maka terpulang kepada kontraktor utama, China Communications Construction Ltd (CCCC) dan juga kerajaan China untuk membuat rundingan selanjutnya mengenai projek tersebut.

“Ini juga bagi membolehkan kerajaan menyemak semula kos projek ECRL ini yang dikatakan menelan belanja sebanyak RM81 bilion,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Laporan The Edge Markets menyatakan penggantungan projek itu dinyatakan dalam salinan surat yang dikeluarkan oleh MRL dan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abd. Razak bertarikh 3 Julai 2018.

Ia melibatkan semua kerja-kerja kontrak bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan untuk projek tersebut.

Arahan yang dikeluarkan kepada CCCC itu menyatakan, dalam tempoh berkenaan, CCCC perlu melindungi, menyimpan dan menjamin kerja-kerja terhadap kehilangan atau kerosakan.

CCCC juga tidak boleh meng­alihkan sebarang peralatan, bahan binaan atau peralatan kerja dari tapak projek tanpa sebarang kebenaran bertulis.

Surat itu turut menyatakan, tempoh penggantungan itu juga berkuat kuasa serta-merta sehingga menerima arahan selanjutnya daripada MRL.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, projek ECRL hanya akan dilaksanakan sekiranya CCCC bersetuju me­nurunkan kos secara signifikan memandangkan ia dijangka memakan belanja sebanyak RM81 bilion dan tidak merangkumi defisit kos operasi, yang tidak dapat ditentukan buat masa ini.

Menurut beliau, kos asas pembinaan landasan kereta api sepanjang 688.3 kilometer itu berjumlah RM66.78 bilion dan jumlah kos projek ECRL adalah RM80.92 bilion selepas mengambil kira kos pengambilalihan tanah, faedah, yuran dan kos operasi lain.

Kos tersebut boleh dibahagikan kepada dua komponen, iaitu kos pembangunan yang termasuk kos pembinaan (RM66.78 bilion), kos pengambilalihan tanah (RM2.5 bilion) modal kerja (RM50 juta) dan kos operasi lain (RM500 juta).

Komponen lain adalah kos pembiayaan yang terdiri daripada faedah (RM7.44 bilion), kupon sukuk (RM3.19 bilion), yuran komitmen (RM238 juta) dan yuran pengurusan (RM216 juta).

Setakat ini, kerajaan melalui anak syarikat operasi miliknya, MRL telah membayar CCCC sejumlah RM19.68 bilion, terdiri daripada bayaran pendahuluan sebanyak RM10.02 bilion dan bayaran kemajuan sebanyak RM9.67 bilion.

Projek ECRL telah diluluskan oleh Kabinet pada 21 Oktober 2016, manakala perjanjian Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan telah ditandatangani dengan CCCC pada 1 November tahun yang sama.

Pada asalnya, projek itu bertujuan untuk membina satu laluan rel dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak di Selangor ke Wakaf Bharu di Kelantan dengan nilai sebanyak RM46 bilion.