Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, keuntungan selepas cukai (PAT) pula mencatatkan RM1.1 bi­lion, me­nurun 20 peratus daripada RM1.4 bilion dari tahun ke ­tahun.

“Ia disebabkan oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kerugian tukaran mata wang asing bagi pinjaman pemegang saham yang melupuskan 50 peratus kepentingan ekuiti dalam anak syarikat,” jelasnya dalam ke­nya­taan di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, jika di­bandingkan dengan suku keempat 2017, PCG menyaksikan pe­ningkatan EBITDA tujuh peratus kepada RM1.8 bilion, sementara PAT meningkat enam peratus kepada RM1.1 bilion.

PCG juga mengekalkan margin EBITDA yang kukuh pada 37 peratus.

Menurut Sazali, PCG berjaya mencapai kadar penggunaan kilang sebanyak 100 peratus, berbanding 99 peratus setahun lalu disokong oleh prestasi kilang yang lebih baik.

“Suku pertama ini menyaksikan prestasi yang kukuh bagi semua kilang, manakala margin bagi sebahagian besar produk juga adalah baik.

“Beberapa kilang kumpulan akan melalui aktiviti pemulihan yang telah dirancang, namun kami kekal komited untuk mengekalkan kadar penggunaan secara keseluruhannya berada atas 90 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai unju­ran pasaran tahun ini, Sazali berkata, harga minyak mentah mungkin telah meningkat sejak beberapa suku lalu, namun keadaan pasaran kekal tidak menentu.

“Perkara ini mungkin akan menjejaskan harga produk, te­tapi kami menjangkakan permintaan akan terus mengukuh,” katanya.

Tambah beliau, pembinaan pro­jek PCG di Pengerang juga berjalan dengan baik dan telah mencapai kemajuan 78 peratus untuk siap setakat April 2018.