Setiausaha Korporat Eagle High, Rudy Suhendra berkata, pinjaman itu akan digunakan untuk menjelaskan hutang sedia ada, membuat bayaran akan datang ke atas bon dan membina kilang minyak sawit baharu.

“Eagle High telah mencagarkan ladang-ladang dan kilang-kilang minyak sawit dimiliki oleh lima anak syarikatnya untuk pinjaman itu,” katanya kepada Reuters dalam temu bual menerusi telefon.

Pada Jun lalu, Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) menandatangani Perjanjian Dasar Induk dengan Rajawali Group untuk mengambil alih 37 peratus kepentingan dalam Eagle High bernilai AS$680 juta (RM2.9 bilion).

Menurut FGV, pemegangan 37 peratus kepentingan dalam Eagle High akan menjadikan FGV pemegang saham terbesar di Eagle High, malah ia juga akan memberikan FGV kawalan polisi serta perwakilan di Lembaga Pengarah.

Tambahnya, bagi menjamin kemampanan jangka panjang dan daya maju perniagaan, FGV memerlukan lebih banyak bank tanah dan ladang dengan profil tanaman yang lebih muda.

Suhendra walau bagaimanapun enggan memberi maklumat lanjut ketika ditanya sama ada FGV akan meneruskan rancangan pengambilalihan tersebut atau sebaliknya. – REUTERS