Pengurus Besarnya, Kho Min-Jee berkata, sejak tudung Duck diperkenal pada 2014, syarikat berjaya menjual kira-kira 500,000 helai tudung.

Katanya, unjuran jualan sejuta tudung Duck itu didorong permintaan yang tinggi dalam kalangan pelanggan di dalam dan luar negara.

Menurut beliau, Duck menawarkan pilihan fabrik Matte Satin, Fluff, Satin Silk, Mixed Crepe, Georgette, Chiffon dan bercorak edisi khas.

“Harga sehelai tudung Duck bermula serendah RM130 dan mencecah RM800 bagi tudung bercorak edisi khas bersempena pertandingan Miss Universe.

“Buat masa ini, saluran jualan tudung Duck boleh didapati laman web Fashion Valet, butik Fashion Valet, butik Duck di Pavilion, Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengenai perancangan masa hadapan, Duck mahu mempelbagaikan tawaran produk kepada segmen Home & Living dengan memperkenalkan produk tuala eksklusif.

Menurut Min-Jee, jenama Duck semakin mendapat permintaan mendorong pihak­nya untuk mengambil inisiatif mengeluarkan produk daripada segmen berlainan.

“Produk Duck bukan sekadar tudung semata-mata, malah jenama itu turut menjual beg tote, twilly dan buku nota.

“Ia merupakan satu langkah bagi jenama itu mengeluarkan lebih banyak produk aksesori serta alat tulis yang kini turut menyumbang kepada jualan syarikat,” katanya.

30 Maple ditubuhkan oleh Pengasas Fashion Valet, Vivy Yusof pada 2014 adalah syarikat tempatan yang khusus menghasilkan produk di bawah jenama Duck.