Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, kumpulan akan menjual beberapa anak syarikat yang memiliki tanah pelbagai kategori seluas 890 hektar, serta ke­se­luruhan ekuiti yang dimiliki dalam Horsedale Deve­lopment Bhd. dan Rebak Island Marina Bhd. kepada Prisma Dimensi Sdn. Bhd. (PDSB).

Katanya, transaksi tersebut akan dilangsaikan melalui aset tanah seluas 503.2 hektar di Johor yang dimiliki PDSB dan Kelana Ventures Sdn. Bhd. (KVSB), serta bayaran tunai sebanyak RM289 juta.

Jelasnya, penjualan syarikat-syarikat dan aset-aset hartanah berkenaan dijangka menghasilkan keuntungan yang dianggarkan bernilai RM848 juta, tertakluk kepada kelulusan-kelulusan pihak kawal selia serta kerajaan.

“Urusniaga ini melambangkan peralihan tumpuan sektor hartanah DRB-Hicom, dengan mengambil peluang pengalaman luas kami di dalam pembangunan hartanah perindustrian.

“DRB-Hicom mempunyai sejarah 30 tahun membangunkan aset perindustrian, dan transaksi ini memberi peluang kepada kami untuk mengguna pakai kebolehan ini,” katanya dalam ke­nyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, transaksi tersebut juga akan menyaksikan DRB-Hicom menarik diri daripada industri perhotelan dan hospitaliti dengan penjualan Rebak Island Marina Bhd., pemilik hotel Vivanta Rebak Island Resort by Taj di Pulau Rebak, Langkawi, dan juga hotel Holiday Inn Glenmarie Kuala Lumpur serta Glenmarie Golf & Country Club yang kedua-duanya terletak bersebelahan masing-masing di Glenmarie, Shah Alam.

Turut terlibat dalam penjualan aset berkenaan adalah Lake Kenyir Resort Taman Negara di Terengganu yang telah menamatkan operasi sejak tahun 2016.

“Amat penting bagi kumpulan untuk mempunyai tumpu­an teras di dalam setiap sektor utama syarikat. Walaupun industri perhotelan dan hospitaliti adalah berpotensi, kami berpendapat kekuatan kumpulan terletak pada industri yang lain.

“Urusniaga ini membolehkan kita memegang portfolio hartanah yang lebih tertumpu, dan akan memudahkan kita untuk menggunakan pengalaman kita dan menuju kecemerlangan di dalam pembangunan hartanah perindustrian”, kata beliau.

Syed Faisal berkata, dengan kemasukan aset tanah di Johor, kumpulan akan mempu­nyai kelebihan untuk memenuhi permintaan tinggi bagi kawasan perindustrian terutamanya dari Singapura.

“DRB-Hicom merancang mem­bangunkan sebuah kawasan perindustrian berteknologi tinggi serta moden di sana setelah pasaran hartanah pulih daripada kelembapan semasa”, jelas Syed Faisal.

Antara kawasan perindustrian utama yang telah dibangunkan oleh DRB-Hicom termasuklah Hicom Industrial Estate dan Glenmarie Industrial Park yang kedua-duanya terletak di Shah Alam, serta Hicom Pegoh Industrial Park di Alor Gajah, Melaka.

Urusniaga tersebut katanya, akan meningkatkan saiz tanah perindustrian yang dipegang oleh DRB-Hicom kepada lebih 728 hektar, buat masa ini aset hartanah perindustrian semasa yang dimiliki kumpulan terletak di Kedah, Perak dan Melaka yang kesemuanya berjumlah kira-kira 242.81 hektar.

“Sebahagian hartanah di Pe­rak dan Melaka ketika ini sedang dibangunkan sebagai kawasan perindustrian, termasuk National Automotive Cluster @ Proton City yang dilancarkan baru-baru ini di Tanjung Malim, Perak,” katanya.

Syarikat itu menjangkakan urus niaga tersebut akan dimuktamadkan pada suku pertama tahun 2019, tertakluk kepada kelulusan-kelulusan yang wajib.