Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata, proses tersebut harus dibuat dengan teliti bagi mengubah hala tuju pengeluar kereta tersebut kepada sebuah syarikat yang berdaya saing.

“Matlamat kami adalah untuk mengubah hala tuju Proton. Sekiranya kelebihan dan kekuatan Proton dapat dipertingkatkan dengan rakan baharu yang boleh menawarkan teknologi, ke­upayaan dan pasaran baharu, Proton bakal menjadi satu jenama yang disegani.

“Inilah sebab mengapa kami perlu teliti dalam menilai bidaan yang diterima. Proton dan FSP baharu ini perlu mampu menghasilkan sinergi yang akan memastikan kejayaan kerjasama ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Syed Faisal turut menegaskan kenyataan syarikat minggu lalu bahawa semua pembida masih lagi bersaing untuk dipilih menjadi FSP Proton.

“Ada laporan media yang me­nyatakan DRB-Hicom kini hanya mempunyai satu pembida. Saya ingin mengesahkan bahawa semua pihak yang membuat bidaan masih bersaing dan Kumpulan kini sedang menilai semua bidaan tersebut dengan teliti.

“Proses tersebut kini di peringkat akhir dan dijangka akan ditamatkan menjelang akhir separuh pertama tahun ini,” katanya.

Sebelum ini Syed Faisal Albar berkata, bagi mencari rakan kongsi strategik paling tepat, DRB-Hicom menilai tiga kriteria utama iaitu kesesuaian strategik, operasi dan keserasian kebudayaan.

Katanya, kriteria-kriteria itu bertujuan memastikan kedua-dua pihak akan mencapai sasaran strategik masing-masing secepat mungkin dan dengan halangan yang minimum kepada operasi perniagaan.

“Dengan adanya keserasian, DRB-Hicom yakin usahasama ini akan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.