Pelantikan Vahland itu, pertama sekali dilaporkan oleh Utusan Malaysia Khamis lalu, yang dilihat sebagai aset penting usaha pemulihan Proton.

Dalam pengumuman struktur baharu organisasi Kumpulan Proton hari ini, Syed Faisal mengumumkan dirinya sebagai Pengerusi Proton Holdinds Bhd. (PHB) dan disertai Shaharul Farez Hassan dan Amalanathan Thomas, kedua-duanya pengurusan kanan DRB-Hicom.

Wakil Geely pula ialah Daniel Donghu Li dan Naib Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Teknologi Geely Auto (tersenarai di Bursa Hong Kong), Feng Qing Feng.

Kelima-lima mereka menganggotai Lembaga Pengarah PONSB, bersama Vahland dan Naib Pre­siden Perniagaan Antarabangsa dan Penasihat Eksekutif kepada Presiden di Geely Holding, Dr. Nathan Yu Ning.

Syed Faisal, Nathan, Daniel Donghui Li dan Dr. Nathan Yu juga dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Proton Edar, syarikat pengedaran Proton di Malaysia.

Pada majlis itu juga, DRB-Hicom telah menyelesaikan cadangan langganan saham 49.9 peratus pegangan atau 547.02 juta saham dalam Proton Holdings Bhd. (PHB) oleh Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) untuk RM460.3 juta.

Kepentingan ekuiti DRB-Hicom dalam PHB kini dikurangkan kepada 50.1 peratus dan baki 49.9 peratus pegangan ekuiti dalam PHB kini dipegang Geely International (Hong Kong) Ltd (anak syarikat milik penuh Geely).

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, DRB-Hicom ber­kata, Lotus Advance Techno­logies Sdn. Bhd. tidak lagi menjadi anak syarikat milik penuh DRB-Hicom, susulan selesainya penjualan jualan 51 peratus saham terbitan dalam Lotus Advance Technologies dan 51 peratus saham ke­utamaan dalam Lotus Cars Ltd kepada Geely.

Geely telah mengumumkan pelantikan Daniel Donghui Li sebagai Pengerusi baharu pengeluar kereta berprestasi tinggi British tersebut.

“PHB juga telah menyelesaikan cadangan jualan 49 peratus saham terbitan dalam Lotus Advance Technologies dan 49 peratus saham keutamaan Lotus Cars kepada Etika Automotive Sdn. Bhd.,’’ katanya.

Menurutnya, cadangan jualan kepentingan PHB dalam Lotus Advance Technologies berjumlah £100 juta (kira-kira RM567 juta).

DRB-Hicom, Geely dan Etika telah bersetuju untuk tidak memindahkan saham keutamaan Lotus Cars masing-masing kepada Geely dan Etika pada tarikh penyelesaian sehingga perbincangan selanjutnya antara pihak terlibat, tanpa sebarang perubahan jumlah pertimbangan jualan bagi cadangan jualan, katanya.

Geely telah menamakan anak syarikat milik penuhnya, Geely International (Hong Kong) Ltd untuk menerima dan memegang saham dalam PHB serta Lotus Advance Technologies Sdn Bhd.