Ismail Pandak
Ismail Pandak

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, pusat berkenaan bakal menempatkan kedudukan syarikat itu sebagai antara pe­ngendali pemasangan komponen terpilih dalam industri automotif serantau.

“Pusat berteknologi tinggi ini yang dibina di tapak seluas kira-kira 3.03 hektar membolehkan HAMM meningkatkan pengeluarannya daripada 25,000 unit kenderaan kepada 50,000 unit setiap tahun.

“Keyakinan ini berlandaskan kepada keupayaan pusat tersebut beroperasi sepanjang masa tanpa memerlukan tenaga kerja yang tinggi,” katanya ketika berucap pada masjlis perasmian pusat berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ke­tua Pegawai Eksekutif HAMM, Ismail Pandak.

Syed Faisal berkata, kemudahan terbaharu itu merupakan sebaha­gian daripada usaha DRB-Hicom meningkat­kan kemampuan syarikat tersebut untuk meng­hadapi evolusi Industri 4.0 yang telah mengubah lanskap industri pembuatan negara.

“Evolusi 4.0 memaksa kita meningkatkan kemampuan K-eko­nomi bagi memastikan Malaysia mencapai matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail berkata, pusat pengecatan baharu berteknologi tinggi itu mula dibina pada Januari 2016 dan siap pada Jun lalu.

Katanya, pusat itu dijangka dapat beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini dan bakal menawarkan kira-kira 200 peluang pekerjaan baharu.

“Pusat itu juga yang pertama menggunakan teknologi E-shuttle 360 di Asia Tenggara yang membolehkan rangka kenderaan direndam se­penuhnya dalam sa­lu­tan cat dan menjamin aplikasi cat yang lebih sekata.

“Teknologi ini juga dapat memberi jaminan antikarat sehingga 30 tahun kepada kenderaan yang dihasilkan selain dapat mengurangkan pembaziran cat dan bahan kimia serta dapat mempercepatkan lagi produksi,” katanya.

Tambahnya, pusat berkenaan dilengkapi sistem pengecatan robotik bagi aplikasi salutan primer dan lapisan asas iaitu satu ciri yang membolehkan HAMM mengurangkan masa pengeluaran sebanyak 50 peratus berbanding kaedah manual.