domino
 

Timbalan Presiden Domino's Pizza Operasi Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree Abdul Rahman berkata, ketika ini syarikat tersebut mempunyai 238 cawangan sedia ada dengan kekuatan hampir 6,000 pekerja.

“Tahun ini Domino’s sudah membuka tiga cawangan baharu dan akan menyusul 12 lagi cawangan termasuk di beberapa daerah di Sabah.

“Kita jangka membelanjakan sejumlah RM500,000 bagi setiap cawangan baharu itu nanti dengan mengekalkan konsep teater pizza di beberapa cawangan mengikut kesesuaian kawasan,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan akhir cabaran membuat pizza terpantas, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Kanan Pemasaran Domino’s, Linda Hassan.

Dalam majlis itu, seramai 14 pekerja Domino’s Pizza di seluruh negara khususnya pembuat pizza menyertai cabaran tersebut bagi merebut peluang mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat Asia Pasifik pada Mei nanti di Singapura.

Pekerja dari Melaka, Fadzwanli Mohd, 26, dipilih sebagai pemenang pertandingan berkenaan sekali gus akan mewakili negara pada kejohanan itu apabila berjaya menyediakan tiga jenis pizza dalam masa 80 saat. - UTUSAN ONLINE