Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, pengumuman dividen kepada 82, 564 ahli individu dan 632 koperasi itu akan dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) CBP pada Jun tahun hadapan.

“Kita yakin mampu mengagih­kan dividen lebih tinggi kepada ahli sejajar dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh CBP ketika ini. Pada 2017, kita mengumumkan dividen sebanyak 8.5 peratus.

“Sehingga September lalu, CBP telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM35.5 juta dengan jumlah deposit sebanyak RM2.4 bilion,” katanya dalam sidang akhbar penjenamaan semula nama CBP di sini hari ini.

Nama bank berkenaan diubah selepas CBP mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mendaftar pindaan undang-undang kecil bagi memperkukuhkan kedudukannya.

Menurut Kamari Zaman, pindaan berkenaan membolehkan nama CBP ditukar kepada ‘Co-opbank Pertama’ selaras dengan visi pihaknya untuk menjadi bank koperasi syariah yang terunggul di Malaysia.

“Pindaan itu diperakukan oleh SKM di bawah Subseksyen 18(3) Akta Koperasi 1993 dan berkuat kuasa pada 13 September lalu. Melalui pindaan tersebut, kita juga akan membuat perubahan kepada kemasukan ahli.

“Perubahan itu membolehkan ruang keanggotaan dibuka kepada masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak selain keanggotaan koperasi diperluas kepada gerakan koperasi di seluruh negara yang berdaftar di bawah akta yang sama,” katanya.

Selain itu katanya, jumlah minimum syer anggota CBP juga telah ditingkatkan kepada RM1,000 bagi individu serta RM5,000 kepada koperasi dan ia terpakai untuk permohonan keanggotaan baharu bermula 13 September lalu.

“Jumlah syer yang masih ada di CBP ketika ini ialah RM250 juta, mereka yang berminat untuk menyertai digalakkan mendaftar dengan segera kerana kita akan menutup penyertaan apabila syer mencecah RM1 bi­lion,” katanya.