Ini berikutan janji kerajaan untuk menurunkan harga jalur lebar sehingga 25 peratus menjelang hujung tahun ini sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan kos sara hidup yang tinggi.

Keadaan itu menyebabkan prestasi TM terjejas di papan utama yang menyaksikan syarikat itu kehilangan pasaran modal hampir RM12 bilion setakat ini.

Saham TM yang ditutup petang Jumaat lalu juga susut dua sen kepada RM2.330 sesaham dengan pasaran modal RM8.54 bilion berbanding RM22.7 bilion pada awal tahun.

Dalam masa sama, timbul juga persoalan, adakah keadaan itu jika berterusan akan memberi kesan kepada pemegang sahamnya memandangkan Khazanah Nasional Berhad memiliki kepentingan 26.21 peratus diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 16.65 peratus.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi, Dr. Yeah Kim Leng berkata, kejatuhan harga saham TM turut disebabkan oleh penurunan prestasi pasaran saham Bursa Malaysia serta tekanan terhadap pendapatan syarikat berikutan janji kerajaan baharu untuk menurunkan harga jalur lebar.

Jelas beliau, prestasi pasaran saham itu mencerminkan aliran keluar modal daripada pasaran baharu muncul, namun penurunan tersebut baru-baru ini tidak seteruk yang dihadapi oleh Turki, Indonesia, Filipina dan India.

“Selain itu, yuran langganan internet di Malaysia masih tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara jiran. Oleh itu, TM harus mencari mekanisme terbaik bagi menurunkan kos agar daya saing antarabangsa negara dapat dikekalkan dalam era digital,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dilihat sebagai individu paling lantang bersuara dalam memberi pandangan terhadap penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negara ini termasuk TM.

Pandangan beliau itu berasaskan kepada bila­ngan aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). TM menca­tatkan bilangan aduan tertinggi berbanding syarikat telekomunikasi lain berdasarkan bilangan purata aduan bagi setiap 1,000 pelanggan.

Suruhanjaya itu juga me­nerima 7,946 aduan mengenai perkhidmatan TM, meningkat 43 peratus berbanding 4,528 aduan pada 2017.

Menurut MCMC, aduan ber­kenaan merangkumi rasa tidak puas hati pelanggan berhubung harga, ketiadaan liputan Unifi, gangguan perkhidmatan Unifi, bil, penyampaian perkhidmatan dan lain-lain aduan.

Pelaksanaan Standard Mandatori Harga Capaian (MSAP) bagi pakej jalur lebar setakat ini berjaya mengurangkan harga sehingga lebih daripada 30 peratus ketika ini.

Sehubungan itu pada awal minggu lalu, satu petisyen dalam talian menuntut Gobind meletak jawatan susulan pandangan berat sebelahnya terhadap TM apabila syarikat itu tidak menurunkan yuran langganan Streamyx dan dikatakan tidak telus dalam komunikasi pelanggan.

Petisyen itu juga mendakwa pandangan seperti itu menyebabkan saham TM semakin menyusut hingga kemungkinan tidak lagi berada dalam senarai saham-saham mewah.

Sementara itu, Ketua Ekonomi IQI Holdings Sdn. Bhd., Shan Saeed berkata, TM perlu mengambil kira perubahan landskap pentadbiran negara dengan melihat semula strategi perniagaan agar selari dengan hasrat kerajaan.

Katanya, memahami persekitaran mikro sangat penting bagi memastikan syarikat dapat menyesuaikan strategi perniagaan dengan kehendak dan keperluan semasa pengguna.