Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Perkhidmatan IT, Deutsche Post DHL Group, Alexander Pilar berkata, pelaburan itu merangkumi program latihan dan pembangunan, agenda pendigitalan dan keselamatan maklumat.

Beliau berkata, pembangunan berterusan Pusat Data Perkhidmatan IT DHL di Cyberjaya itu turut bertujuan mewujudkan peluang bagi bakat IT baharu muncul di Malaysia dan sekitar rantau ini.

“Pusat Data Perkhidmatan IT DHL telah menyediakan infrastruktur IT kritikal, pembangunan aplikasi perniagaan dan sokongan bagi operasi di rantau Asia Pasifik dan global sejak 20 tahun yang lalu.

“DHL juga telah melabur lebih RM4.7 bilion bagi pembangunan pusat ini sejak tahun 1997,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ng Wan Peng dan Ketua Perkhidmatan IT Cyberjaya yang juga Naib Presiden Perhubungan Perniagaan untuk Perkhidmatan IT, Asia Pasifik Deutsche Post DHL Group, S. Yoganathan.

Tambah Pilar, pendigitalan me­mainkan peranan strategik dalam membantu rangkaian logistik glo­bal mencapai kemajuan, kebolehpercayaan dan ketepatan yang diperlukan untuk mengimbangi permintaan hari ini.

Katanya, pelaburan yang di­buat di Cyberjaya menunjukkan komitmen DHL untuk meningkatkan keupayaan dan membantu para pelanggannya memperbaiki kedudukan pasaran mereka melalui infrastruktur IT dan kemahiran bakat yang terbaik.

Sementara itu, Wan Peng berkata, langkah yang diambil DHL bagi mempertingkatkan dan menambah baik Pusat Data Perkhidmatan IT kumpulan mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi syarikat logistik terkemuka global itu kepada Malaysia, sekali gus membantu memacu agenda transformasi ekonomi digital negara.