Produk baharu Brahim’s yang diperkenalkan bagi pasaran negara tersebut terdiri daripada Nasi Briyani Ayam, Nasi Briyani Kam­bing, Nasi Goreng Kampung, Nasi Goreng Ikan Masin dan Nasi Arab Kambing.

Buku resipi dengan 162 halaman pula menceritakan perjalanan perniagaan makanan Brahims, selain disertakan sebanyak 42 resipi berbeza bagi produk-produk nasi terbabit.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Dewina, Nur Fatin Ibrahim berkata, Brahim’s adalah tidak asing di Brunei, malah negara itu mempunyai hubungan dan sejarah yang panjang bersama syarikat iaitu sejak 1989.

Katanya, menerusi tawaran pro­duk, keupayaan pemasaran dan maklum balas yang positif daripada pengguna sedia ada, beliau percaya Brahim’s mempunyai masa depan yang cerah di negara itu.

“Brunei adalah sebuah negara yang mempunyai populasi penduduk rendah, namun memiliki pendapatan boleh guna yang tinggi serta mengutamakan halal dalam segala aspek kehidupan.

“Sejak nasi MRE diperkenalkan di Malaysia pada 2010, ia telah menerima sambutan yang mengga­lakkan. Kami yakin tawaran produk itu juga akan diterima baik oleh pengguna di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas melancarkan produk baharu dan buku resipi itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Dewina Holding, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Ghulam Jelani Khanizaman.

Rangkaian produk nasi MRE Brahim’s kini boleh didapati di Malaysia, Jepun dan Brunei, serta telah menerima kebenaran dan akan diperkenal di Australia dalam masa terdekat.

Jelas Nur Fatin, terdapat sembilan produk nasi MRE, namun buat pasaran Brunei hanya lima diperkenalkan sebagai permulaan, manakala baki empat produk dalam masa satu atau dua bulan lagi.

“Brahim’s bukan hanya memudahkan penyediaan makanan tradisional, malah kita menyediakan hidangan yang lebih enak untuk dinikmati pada bila-bila masa dan di mana-mana pelanggan berada,” katanya. – UTUSAN