Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan adalah peningkatan seba­nyak 6.66 peratus atau sebanyak RM592 juta berbanding RM8.891 bilion dalam Bajet 2017.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM5.614 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM3.869 bilion untuk perbelanjaan pembangunan iaitu yang kedua tertinggi selepas Jabatan Perdana Menteri.

“Agihan peruntukan belan­ja pembangunan turut me­nge­kalkan tumpuan pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak de­ngan anggaran peruntukan ma­sing-masing sebanyak RM927.6 juta dan RM1.1 bilion.

“Jumlah itu merupakan 52 pe­ratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan kepada kementerian ini disalurkan untuk pembangunan di kedua-dua ne­geri terbabit, namun kita juga tidak mengabaikan 11 negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar khas mengenai Bajet 2018 di sini hari ini.

Menurutnya, peruntukan itu menunjukkan kerajaan terus memberi tumpuan dan perhatian kepada 7.8 juta penduduk luar bandar atau 26.8 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia untuk menikmati kesejahteraan kehidupan dan pembangunan ekonomi.

“Sebanyak 47.5 peratus daripada peruntukan dalam Bajet 2018 itu akan diagihkan mengikut ke­perluan 11 negeri di Semenanjung. Jika dinilai berdasarkan peratusan, setiap negeri akan menerima tidak kurang daripada lima peratus,” katanya.

Ketika mengulas mengenai peruntukan kepada Sabah dan Sarawak, Ismail Sabri berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan 472 projek sambu­ngan dan 178 projek baharu yang akan dimulakan awal tahun depan.

Katanya, untuk pembangunan prasarana, sebanyak RM934 juta diperuntukkan untuk Projek Jalan Luar Bandar termasuk hampir RM500 juta untuk Sabah dan Sarawak, manakala RM672 juta untuk Bekalan Elektrik Luar Bandar.

“Kita juga memperuntukkan sebanyak RM420 juta untuk Bekalan Air Luar Bandar termasuk hampir RM300 juta untuk Sabah dan Sarawak bagi bekalan air beraih meliputi 3,000 unit rumah,” katanya.

Katanya, untuk pendidikan dan modal insan, buat kali pertama dalam sejarah apabila biasiswa pe­ngajian tinggi dan latihan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) me­nerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM2.5 bilion untuk manfaat 90,000 orang pelajar.

Katanya, Bajet 2018 juga tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli apabila sebanyak RM60 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli.

“Daripada jumlah itu, seba­nyak RM50 juta diperuntukkan untuk meningkatkan taraf hidup dan pembangunan Orang Asli meliputi bantuan makanan komuniti yang turut memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 orang pelajar.

“Buat pertama kalinya juga, kerajaan memberi bantuan sebanyak RM3,000 secara terus sebagai bantuan pengajian untuk masyarakat Orang Asli, peruntukan ini akan di­terima oleh ibu bapa untuk persedia­an anak-anak ke institusi pengajian tinggi awam,” katanya.

Katanya, peruntukan baharu itu bertujuan meringankan beban masyarakat Orang Asli dan memastikan anak-anak mereka dapat menyambung pengajian ke peringkat tertinggi serta mena­ngani masalah kemiskinan.

Beliau berkata, bagi program keusahawanan, sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (Sped) bagi usahawan Bumiputera desa dan RM200 juta untuk Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres dan Pembiayaan Mudah Jaya (Spike) di bawah MARA.

“Sebanyak RM25 juta juga diperuntukkan untuk motosikal roda tiga, Program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur) GIATMARA dan Kelab Usahawan Siswazah Tani (Myagrosis),” katanya.

Katanya, untuk pertanian dan pembangunan semula, sebanyak RM140 juta diperuntukkan untuk pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit dan RM200 juta untuk tujuan sama bagi tanaman getah.

Seperti kebiasaannya kerajaan juga memperuntukkan bayaran khas sebanyak RM1,500 kepada ketua-ketua kampung dan tok batin sebagai tanda penghargaan di atas jasa mereka, katanya.

“Untuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) pula, kita memperuntukkan sebanyak RM142 juta untuk bantuan makanan tambahan, RM20 juta untuk bantuan geran perkapita dan RM2.5 juta untuk pembaikan bangunan,” ujarnya.

Katanya, Bajet 2018 diyakini dapat menjana pendapatan masyarakat luar bandar untuk menangani kos sara hidup melalui program keusahawanan selain mencipta peluang pekerjaan di kawasan luar bandar.

“Bajet ini juga diyakini dapat menggalakkan generasi muda untuk kekal tinggal di luar bandar dan membina masa depan di kawasan tersebut. Menerusi bajet ini saya juga percaya lebih ba­nyak kejayaan akan dicapai dalam konteks kemajuan luar bandar,” katanya.