Pengarah Urusan Kumpulan Deleum, Nan Yusri Nan Rahimy berkata, kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran untuk membangunkan teknologi serta produk khusus berkenaan instrumen dan bahan kimia serta mengurangkan aliran jaminan yang dihadapi pemilik aset.

“Deleum mengutamakan keupayaannya untuk berinovasi. Disebabkan itu, kami sentiasa berusaha mengukuhkan produk dan perkhidmatan dalam mencapai tahap baharu bagi penyelesaian yang khusus dan inovatif.

“Kerjasama ini akan menjadi dorongan bagi kedua-dua pihak untuk menjadi pemain yang aktif dalam membangunkan penyelesaian bagi keperluan industri minyak dan gas pada masa depan,” katanya pada majlis MoU tersebut di sini hari ini.

Nan Yusri menandatangani MoU itu bersama Naib Canselor UTP, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim sambil disaksikan Pengurus Besar Deleum Chemicals, Anwarudin Saidu dan Pengarah Pejabat Pakatan Strategik UTP, Prof. Madya Dr. Fawnizu Azmadi Hussin.

Tambah Nan Yusri, fasa permulaan usaha berkenaan dirancang dalam tempoh dua tahun, dengan pilihan untuk diteruskan lagi bergantung kepada pe­nemuan dan kemajuan kaji selidik penyelesaian baharu yang akan dijalankan.

“Sepanjang tempoh tersebut, akan terdapat penglibatan dan interaksi yang aktif untuk me­neroka teknologi baharu bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh industri dalam operasi harian mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, teras utama MoU buat UTP adalah untuk menyediakan platform yang mapan bagi membangunkan keupayaan pelajar dengan pendedahan dan cabaran sebenar berkaitan industri.