Deftech yang juga anak syarikat DRB-Hicom Bhd., telah diamanahkan untuk membina dan menyelenggara kenderaan elektrik (EV) pertama di Malaysia iaitu bas Putra Nedo Ev.

Menurut Deftech, projek berke­-
naan dibentuk hasil daripada program pemindahan teknologi selepas perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Jepun.

Jelas syarikat tersebut, memorandum persefahaman (MoU) itu ditandatangani oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama New Energy and Industrial Technology Development Organization (NEDO) dari Jepun.

“Bas ini menggunakan tek­nologi berbeza jika dibandingkan dengan bas EV lain di Malaysia dan mungkin juga di ASEAN.

“Sistem SQC hanya memerlukan masa 10 minit untuk dicaj sepenuhnya antara setiap perjalanan dengan purata 30 kilometer melalui overhead pantograph.

“Ia berbeza dengan bas EV lain yang memerlukan tempoh semalaman dengan anggaran antara enam hingga lapan jam untuk beroperasi secara optimum,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Deftech, projek itu mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak terutama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai langkah pertama menjadikan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebuah bandar hijau.

“Syarikat telah diamanahkan untuk mengeluarkan sebanyak 11 buah bas setingkat EV, dan lapan buah daripadanya telah diserahkan kepada PPj dan telah beroperasi, sementara baki tiga buah lagi akan dihantar tahun 2018,” jelasnya.

Bas Putra NEDO EV dikendalikan oleh Pengangkutan Awam Putrajaya Travel and Tours Sdn. Bhd. (Nadiputra), iaitu anak syarikat milik penuh PPj yang menjalankan perkhidmatan di kawasan Putrajaya.

NEDO pula adalah konsortium Jepun terdiri daripada Toshiba Infrastructure Systems and Solutions Corporation, PUES Corporation, Hasetec Corporation dan Oriental Consultants Global Company Limited.