Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, tindakan itu akan memberi kesan positif kepada pemegang saham runcit dan pelabur institusi tempatan utama.

Katanya, KWSP dengan pegangan saham di dalam TNB sebanyak 12.62 peratus percaya bahawa TNB telah mengambil kira setiap aspek daya maju perniagaan dan kemampanan jangka panjang sebelum keputusan ini dibuat.

“Dasar dividen baharu TNB bakal memberi impak positif kepada 15 juta pencarum setakat Jun lalu, yang mana 6.97 juta daripadanya merupakan ahli aktif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Syarikat utiliti negara itu pada Oktober lalu mengumumkan hasrat untuk mengagihkan dividen pada nisbah pembayaran dividen 30 hingga 60 peratus berdasarkan laporan keuntungan bersih yang disatukan kepada pemegang saham selepas kepentingan mino­riti, tidak termasuk perkara luar biasa dan tidak berulang.

Untuk rekod, pada Ogos 2017, selain daripada KWSP, Permodalan Nasional Bhd., (PNB) memiliki kepentingan ekuiti dalam TNB sebanyak 11.08 peratus, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) (5.49 peratus), Lembaga Tabung Haji (TH) (1.83 peratus) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) (0.15 peratus).
Para pemegang saham TNB bakal menikmati ‘durian runtuh’ selepas syarikat utiliti itu pada Oktober lepas mengumumkan pembayaran dividen mencecah rekod tertinggi sebanyak RM3.5 bilion untuk 2017.

Kesan dividen yang tinggi akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan kekayaan yang diagihkan sama rata kepada rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, pelaksanaan dasar dividen baharu itu membuatkan syarikat menjadi lebih untuk mempertingkatkan pegangan saham di dalam TNB.

“Tindakan TNB akan terus memaksimumkan nilai pemegang saham melalui pembayaran dividen seterusnya memberi keyakinan kepada para pemegang saham TNB termasuk KWAP.

“Institusi pelaburan dan dana unit amanah lain yang membawa TNB dalam portfolio mereka akan meraih manfaat apabila TNB mengisytiharkan dividen yang tinggi,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah menyifatkan prestasi pelaburannya di dalam TNB adalah memberangsangkan.

Jelas beliau, pulangan kumulatif sepanjang tahun ini memberikan peluang kepada TH untuk menawarkan hibah yang kompetitif kepada pendeposit.

“Kami menjangkakan TNB akan meneruskan pembayaran dividen yang berdaya saing dan mampan untuk manfaat jangka masa panjang kepada lebih sembilan juta pendeposit TH.

“TH merupakan sebuah institusi kewangan Islam unggul di Malaysia dengan pengalaman melebihi 50 tahun dalam pengurusan Deposit Ummah, kami sentiasa berusaha untuk memperkasakan ekonomi umat Islam di Malaysia dengan memanfaatkan dana dan sumber sedia ada,” katanya.