KUALA LUMPUR, 5 Disember 2017 - Pengerusi Pharmaniaga Berhad Tan
Lodin Wok Kamaruddin

Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, meskipun pelaburan LTAT di dalam TNB tidak terlalu besar, tetapi beliau percaya ia mempunyai kesan berganda kepada negara secara keseluruhan.

Katanya, LTAT menghargai hasrat TNB untuk merealisasikan dasar dividen baharu pada nisbah pembayaran dividen 30 hingga 60 peratus berkuat kuasa tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2017.

“Kami yakin TNB sentiasa komited dalam usaha untuk terus memaksimumkan nilai para pemegang saham melalui pembayaran dividen yang konsisten dan berkekalan.

“Ia seiring dengan tindakan LTAT yang mengambil langkah berjaga-jaga dari segi operasi dan pelaburan bagi memastikan kepentingan dan pulangan kepada para ahli,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

TNB yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1990, mula membayar dividen pertamanya pada 1994.

Sejak itu, syarikat telah memberi ganjaran kepada para pemegang sahamnya dengan pulangan tunai secara tetap melalui perisytiharan dividen interim dan akhir setiap tahun kewangan.

Syarikat utiliti negara itu pada Oktober lalu mengumumkan hasrat untuk mengagihkan dividen pada nisbah pembayaran dividen 30 hingga 60 peratus berdasarkan laporan keuntu­ngan bersih yang disatukan kepada pemegang saham selepas kepentingan mino­riti, tidak termasuk perkara luar biasa dan tidak berulang.

Untuk rekod, pada Ogos 2017, selain daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd. (PNB) memiliki kepentingan ekuiti dalam TNB sebanyak 11.08 peratus, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) (5.49 peratus), Lembaga Tabung Haji (1.83 peratus) dan LTAT (0.15 peratus).

Para pemegang saham TNB bakal menikmati ‘durian runtuh’ selepas syarikat utiliti itu pada Oktober lepas mengumumkan pembayaran dividen mencecah rekod tertinggi sebanyak RM3.5 bilion untuk 2017.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn. Bhd., Danny Wong berkata, langkah berani yang semakin jarang dapat dilihat itu mencerminkan keupayaan TNB.

Tambahnya, apabila saham per­­modalan yang besar mengisytiharkan dividen yang tinggi, ia memberi isyarat aliran tunai yang baik.

“Oleh itu, TNB perlu menyusun strategi dalam usaha memastikan pertumbuhan mapan dalam segmen perniagaannya, mengasingkan risiko daripada lembaran imbangan bagi mempunyai aliran tunai kukuh.

“Aliran tunai yang mencukupi adalah penting bagi merealisasikan hasrat TNB untuk mengagihkan dividen pada nisbah pembayaran dividen 30 hingga 60 peratus,” katanya.

Areca Capital merupakan syarikat pengurusan dana yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.