Berbilion dana akan mengalir ke dalam sistem dengan pemegang saham langsung, pemegang dana akaun institusi dan pegangan saham syarikat, akan memperoleh lebih banyak wang, kata Profesor Ekonomi Perniagaan Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng.

“Pendapatan yang lebih tinggi daripada dividen akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna. Ini mungkin menyokong momentum pertumbuhan penggunaan yang meningkat sekitar tujuh peratus pada suku ketiga tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Sambil memuji pembayaran dividen yang tinggi oleh TNB, Kim Leng berkata, ia akan membantu mengekalkan perbelanjaan pengguna pada 2018.

TNB mengumumkan pembayaran dividen pada paras ter­tinggi sebanyak RM3.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2017. Lembaga Pengarah memutuskan untuk meningkatkan julat pembayaran dividen semasa kepada 30 hingga 60 peratus daripada dasar pembayaran 30 hingga 50 peratus sebelumnya.

Pada Ogos 2017, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki 11.70 peratus kepentingan ekuiti dalam TNB, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) (11.08 peratus), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) (5.49 peratus), Lembaga Tabung Haji (1.83 peratus) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (0.15 peratus).

Penganalisis Public Invest Research Equity, Nur Farah Syifaa’ Mohamad Fu’ad pula berkata, dasar dividen yang lebih tinggi itu sudah dijangkakan oleh pasaran susulan keuntungan TNB yang semakin meningkat.

“Kami menjangkakan keuntungan TNB akan terus bertambah, seiring dengan permintaan ke atas bekalan elektrik. Dengan dividen baharu itu, kami memperoleh galakan untuk menambah unjuran pembayaran dividen kami daripada 40 peratus kepada 50 peratus bagi tahun kewangan 2018/19,” katanya.

Naib Presiden/Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, dasar dividen baharu itu juga memberi isyarat padu kepada pelabur mengenai kestabilan saham TNB yang menunjukkan prospek perniagaan syarikat utiliti itu pada masa depan.

“Saham TNB di Bursa Malaysia berada dalam momentum me­ningkat sejak ia mengumumkan dasar dividen baharu dan saya berharap dasar baharu ini dapat dikekalkan untuk jangka masa yang panjang. Syarikat seperti TNB juga meningkatkan reputasi bursa tempatan sebagai pasaran defensif,” katanya.

Harga saham TNB meningkat ke tahap yang lebih tinggi dalam tempoh setahun yang lalu daripada RM13 kepada RM15.62 pada penutupan semalam, dengan nilai permodalan pasaran seba­nyak RM88.50 bilion. – BERNAMA