Penganalisis Ekonomi Politik di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof. Edmund Terence Gomez berkata, kerajaan memerlukan dasar-dasar baharu yang boleh merangsang pelaburan dan bukannya hanya tertumpu kepada dasar ekonomi bumiputera semata-mata.

Katanya, ini kerana dasar bumiputera yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini sejak 1970 dilihat tidak banyak membantu meningkatkan ekonomi kaum berkenaan dengan hanya melahirkan dua syarikat milik bumiputera yang berjaya daripada 50 syarikat utama di Malaysia ketika ini.

“Jadi, apakah yang hendak disampaikan daripada dasar ini? Adakah saya bimbang dengan dasar berasaskan kaum, ya, sudah tentu kerana apabila kerajaan mengumumkan dasar sama baru-baru ini, soalan pertama yang bermain di fikiran saya ialah adakah mereka sudah me­lakukan penilaian sejarah terhadap dasar ini sejak 1970? Sudahkah mereka melihat hasilnya sejak 1970?

“Jika mahu melaksanakan dasar bumiputera ini, kita perlu adakan debat terbuka umum me­ngenai perkara ini kerana mengikut pandangan saya, ia tidak akan berjaya dan jangan teruskannya,” katanya dalam Persidangan China 2018 anjuran South China Morning Post di sini hari ini.

Beliau merupakan panel bagi sesi bertajuk Politik: Kerjasama Ekonomi di Tengah-tengah Ke­tegangan Politik yang turut di­sertai Presiden Persatuan Kerjasama Malaysia-China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan; Profesor Emeritus di City University of Hong Kong, Profesor Chang Hsin-kang dan Naib Presiden Asian Development Bank, Stephen Groff.

Pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara yang diadakan 1 September lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed berkata, kerajaan PH akan meneruskan dasar-dasar yang membantu perniagaan bumiputera, tetapi mereka perlu bersifat amanah apabila memperoleh peluang.

Di samping itu, Gomez berkata, perkara lain yang menjadi perhatiannya ialah sejauh mana kesanggupan pelabur bukan bumiputera melabur di dalam negara tanpa dibelenggu perasaan takut dan jaminan bahawa hak mereka dilindungi.

“Ini adalah antara isu yang perlu diberi perhatian bagaimana untuk meyakinkan pelabur yang mereka boleh melabur tanpa rasa bimbang dan urus tadbir dilakukan dengan telus.

“Jika kerajaan melaksanakan dasar bumiputera tanpa menjamin semua ini, saya tidak fikir ia akan merangsang keyakinan pelabur,” katanya.

Dalam pada itu, Gomez berkata, kerajaan tidak sepatutnya melakukan konfrontasi dengan China sebaliknya perlu fokus kepada beberapa projek yang juga berfaedah kepada negara.

“Kita terlalu banyak memberi fokus kepada projek Laluan Rel Pantai Timur sedangkan ada projek lain yang lebih dinamik yang dilaburkan oleh China dalam sektor awam dan swasta.

“Inilah masalah dengan kerajaan baharu ini, terlalu konfrontasi dengan China. Jadi, ini perlu diselesaikan dengan cepat,” katanya.

Menurutnya, kemasukan pe­laburan ke Malaysia kemungkinan akan terjejas sekiranya pendekatan terhadap China tidak dapat diselesaikan.