Pengarah Urusannya, Laili Ismail, 51, memberitahu, dalam menyediakan alternatif kepada pengguna dengan perkhidmatan yang cekap dan selesa, pertambahan bas akan dilakukan secara berperingkat sehingga 30 buah melibatkan pelaburan dianggarkan bakal mencecah RM30 juta.

“Buat permulaan, sejak ber­operasi Oktober lalu, kita menyediakan dua buah bas dua tingkat dari model terbaharu Scania, dengan pelbagai ciri canggih untuk laluan Kuala Terengganu-Kuala Lumpur manakala dua buah bas lagi dijangka tiba akhir bulan ini,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian semasa majlis pelancaran perkhidmatan Darul Iman Ekspress oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Samiun Salleh di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini baru-baru ini.

Laili yang berasal dari Besut juga merupakan Pengarah Urusan Tiara Persona Sdn. Bhd, syarikat berpangkalan di Kota Bharu, yang kini mengendalikan 70 buah bas Ekspres Perdana.

Menurut usahawan itu, Darul Iman Express dilengkapi kemudahan berkelas eksekutif termasuk sistem wiFi dan USB di setiap kerusi di samping kelengkapan sistem kawalan had laju maksimum 90 kilo­meter yang dipantau dari bilik operasi.

Darul Iman Ekspres dengan 45 tempat duduk, mengambil penumpang dari Setiu seterusnya ke Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman sebelum ke Kuala Lumpur.

Katanya, bas Darul Iman Express dikendalikan oleh kalangan pemandu muda yang berpengalaman dan terlatih malah mereka juga dipastikan bebas daripada dadah.

“Kita sentiasa mementingkan keselamatan serta keselesaan penumpang dan atas sebab itulah setiap bas baharu yang kita beli beroperasi hanya selama lima tahun, selepas itu kenderaan akan dijual untuk digantikan dengan bas baharu,” tambahnya.