Pengarah Urusannya, Tee Tone Vei berkata, terma ‘Fizik Termal’ ketika itu masih baharu di Malaysia dan pe­nerimaan rakyat serta pasaran negara ini terhadap teknologi pintar dan hijau agak asing.

Ia sekali gus memberi peluang dan idea untuk beliau memasarkan produk sistem pemanas air tenaga boleh diperbaharui (RE) ke UK memandangkan permintaan bagi produk tersebut adalah tinggi.

“Kesedaran mengenai sistem RE di Malaysia ketika itu masih rendah dan menyedari potensi pertumbuhan syarikat adalah besar di luar negara, kami terus memutuskan untuk memasarkannya ke UK.

“Setelah beberapa tahun akhir­nya pasaran Malaysia mula menerima konsep RE biarpun harganya agak tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Intirx juga merupakan penerima geran bagi program Sirim -Fraunhofer yang ditawarkan agensi itu kepada 400 usahawan tempatan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Tone Vei berkata, ketika baru memulakan perniagaan, Intrix bermula sebagai sebuah konsultan rekaan dan ia merupakan satu-satunya syarikat Malaysia yang menyediakan khidmat runding mengenai rekaan produk bagi syarikat-syarikat di UK.

“Jadi, kami me­ngumpulkan para jurutera dari Malaysia untuk pergi ke syarikat-syarikat di UK dan mengikuti latihan serta kemahiran dalam produk-produk berkaitan tenaga termal.

“Dari situlah bermulanya Intrix secara serius dan syukur kami kini merupakan antara pemain premium di pasaran Malaysia dan UK,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, 70 peratus pembangunan baharu di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur menggunakan sistem pemanas air keluaran syarikatnya.

Antara pelanggan-pelanggan Intrix termasuklah Four Seasons, Banyan Tree dan Pavilion Elite.

“Boleh dikatakan kami memiliki penguasaan pasaran pa­ling premium di Malaysia,” katanya.