Itulah yang dilakukan oleh pengusaha AHA’s Kitchen, Hashimah Hassan, 38, yang memilih menjadi suri rumah tetapi dalam waktu sama bijak berdikari dengan menjalankan perniagaan dalam talian. Walaupun perniagaan itu dilakukan secara kecil-kecilan, namun permintaan diterima semakin meningkat setiap hari.

Hashimah menjual pes masakan yang resipinya diwarisi turun-temurun daripada ibu dan ibu mentuanya. Menurutnya, produk yang dihasilkan itu membantu wanita bekerjaya menyiapkan makanan untuk seisi keluarga dengan mudah dan pantas.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, perniagaannya bermula dengan menyiapkan tempahan yang diterima daripada jiran tetangga. Tambahnya, dia tidak menyangka produk itu mendapat maklum balas positif.

“Segalanya bermula pada 2011. Ketika itu, saya cuba berniaga kecil-kecilan sehinggalah terdetik dalam hati menjual pes masakan kepada jiran, rakan dan saudara-mara.

“Alhamdulilah, maklum balas positif diterima daripada jiran, rakan dan saudara, sekali gus memberi semangat kepada saya untuk membuka perniagaan pes masakan di bawah jenama AHA’s Kitchen,” katanya kepada S2.

Katanya, bagi meningkatkan kualiti pes tersebut, dia mendapat khidmat nasihat dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tentang cara-cara memproses dan membungkus.

“Saya juga menghadiri latihan dan kursus yang dianjurkan Persatuan Sahabat Usahawan Malaysia (PSUM) bagi mengetahui kaedah menjalankan perniagaan dengan berkesan,” ujarnya.

Tambahnya, bukan itu sahaja, Hashimah juga memasuki bengkel mempromosikan produk melalui laman sosial Facebook bertujuan mengembangkan lagi perniagaannya.

Hashimah yang berasal dari Pulau Pinang berkata, kira-kira tiga tahun lalu, dia mula memberanikan diri menyediakan pes masakan seberat 180 gram sehingga 200 gram (berharga RM7.00) satu paket.

Katanya, sambutan diterima amat baik dan melihat peluang perniagaan itu cerah, dia beralih kepada pemasaran dan jualan secara dalam talian.

Selain melalui dalam talian, Hashimah juga menggunakan pelbagai medium perniagaan dalam memperkenalkan produknya kepada masyarakat.

“Pes AHA’s Kitchen turut ditempatkan di kedai Halalmart bagi memudahkan pelanggan membeli di situ.

“Saya juga menyertai karnival halal di beberapa negeri untuk memperkenalkan produk itu dan pelanggan yang membeli memuji pes tersebut,” ujarnya.

Katanya, pes tersebut membolehkan 80 peratus kerja memasak dapat dikurangkan kerana segala ramuan seperti bunga kantan, daun kesum, daun limau purut, daun kari,kunyit, serai dan belacan ada di dalamnya.

“Bermodalkan RM800, saya memulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan. Saya dibantu suami, Khairul Azhar Bahari di rumah bagi memastikan penyediaannya segar dan berkualiti.

“Selepas itu, saya menggunakan wang simpanan untuk membeli mesin bagi memastikan penyediaan pes dapat dibuat dengan cepat, memandangkan kerja memproses bahan perlu dilakukan selama lapan hingga 10 jam sehari,” katanya.

Sebagai suri rumah, dia mengakui perlu membahagikan masa untuk menyediakan pes tersebut kerana dalam masa sama, Hashimah turut menjaga anak-anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

“Saya perlu menyediakan pes tersebut mengikut tempahan pelanggan di rumah dan mengepos tempahan berkenaan bagi menjamin kualiti,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 11 jenis pes masakan dipasarkan dan boleh disiapkan dalam masa 10 minit sahaja.

“Pes masakan ini dimasak dalam 10 minit sahaja dan boleh bertahan selama enam bulan. Ia sangat sesuai kepada pelanggan yang mahu membawanya ke luar negara ketika melancong,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lanjut tentang pes tersebut, boleh mengunjungi laman sosial Facebook/ahaskitchen, Instagram Hashimah_Hassan atau laman web, www.ahaskitchen.blogspot.my.

 

Info

Pes masakan AHA’s Kitchen

> Portuguese grill

> Rendang ayam dan daging

> Asam pedas bonda

> Ayam daging lemon berempah

> Kari ikan mamak

> Kari ayam mamak

> Masak lemak cili padi

> Ayam masak merah

> Nasi goreng menangis

> Bihun Singapura

> Mi udang Penang

> Harga: Satu paket pes 
hanya RM7.00