Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Danajamin mahu bantu lima syarikat tahun ini

kebanyakan syarikat yang mendapatkan bantuan Danajamin bertumpu 4
kebanyakan syarikat yang mendapatkan bantuan Danajamin bertumpu kepada empat sektor utama iaitu hartanah, minyak dan gas, infrastruktur dan peruncitan. gambar hiasan

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) mahu membantu empat hingga lima lagi syarikat menjelang hujung tahun ini melibatkan saiz dana antara antara RM1.2 hingga RM1.5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Nazri Omar berkata, kebanyakan syarikat tersebut buat masa ini masih tertumpu kepada empat sektor utama iaitu hartanah, minyak dan gas, infrastruktur dan runcit.

“Secara dasarnya, kami cuba mempelbagaikannya kepada sektor baharu, tetapi ada yang tidak bersesuaian kerana saiz terbitan modalnya terlampau kecil dan ia memadai dengan melakukan pembiayaan menerusi bank.

“Kita juga perhatikan, keba­nyakan syarikat yang terbit mo­dal ini adalah berasaskan aset contohnya, membina pelabuhan atau bangunan memandangkan ia memerlukan peruntukan perbelanjaan yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kementerian Kewangan dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) masing-masing memiliki kepentingan 50 peratus dalam Danajamin yang diberi penarafan AAA oleh RAM Rating Services Bhd (RAM) dan Malaysia Rating Corporation (MARC).

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, Danajamin merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM125 juta berban­ding RM119 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Setakat 31 Disember 2016, Danajamin mempunyai jumlah aset dan ekuiti pemegang saham sebanyak RM2.1 bilion dan RM1.6 bilion.

Menurut Mohamed Nazri, sejak penubuhannya pada 2009, Danajamin telah memberi jaminan untuk program bon atau sukuk berjumlah RM8.8 bilion yang diterbitkan menerusi 30 syarikat dalam pelbagai sektor.

Katanya, daripada jumlah itu, lapan syarikat telah melunaskan pembayaran mereka sepenuhnya dan setakat ini, Danajamin tidak berhadapan dengan sebarang masalah default (gagal melangsaikan pembayaran).

“Walaupun Danajamin menerbitkan RM8.8 bilion tetapi secara keseluruhan ia memberi kesan pasaran sebanyak RM15.2 bilion melalui perkongsian risiko dengan­ institusi perbankan.

“Ini amat penting kerana dengan­ adanya kerjasama ini, kita dapat berkongsi risiko dan modal yang perlu untuk menolong lebih banyak syarikat dan juga bank-bank lain,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya me­nge­nai prospek pasaran bon bagi separuh kedua tahun ini, beliau berkata, ia dijangka berkembang dengan lebih baik apabila prestasi separuh pertama menyaksikan RM57 bilion bon/sukuk diterbitkan berbanding RM39 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“Jadi, dengan prospek yang lebih baik ini, terdapat kemungkinan agensi penarafan mengunjurkan sebanyak RM95 bilion hingga RM105 bilion bon korporat akan diterbitkan bagi tahun ini sahaja berbanding RM85 bilion tahun lalu,” katanya.

Ekonomi Malaysia diunjur ku­kuh tahun ini apabila Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bulan lalu optimis Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada 4.8 peratus tahun ini berbanding unjuran awal 4.5 peratus dengan mengambil kira keadaan dasar monetari yang baik.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain