ABDUL RAHMAN DAHLAN

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pelaburan tersebut akan mula diterima menjelang hujung bulan ini.

“Kami menjangkakan pela­buran itu akan diterima hujung bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Teknologi Luar Pesisir (Offshore Technology Conference) Asia 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Abdul Rahman berkata, pelaburan berjumlah RM27.41 bilion itu menyokong projek transformasi kerajaan dan sekali gus membantu Malaysia untuk memanfaatkan ke­perluan yang semakin meningkat bagi produk tenaga dan petrokimia di Asia untuk tempoh 20 tahun akan datang.

“Ini akan memacu pertumbuhan sektor hiliran minyak dan gas Malaysia dan mendorong negara menjadi peneraju pembangunan teknologi dan ekonomi baharu,” katanya.

Jelas beliau, pelaburan Saudi Aramco juga mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Rundingan pela­bu­ran Saudi Aramco itu telah dimuktamadkan pada Februari tahun lalu ketika lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia.

Ia sekali gus disifatkan antara keputusan terbesar dicapai pada sesi lawatan ber­kenaan dengan syarikat Arab Saudi itu bakal menjadi pelabur tunggal terbesar dalam projek tersebut.

Menerusi transaksi jual beli sa­ham itu, kedua-dua syarikat akan memiliki pegangan ekuiti sama rata ke atas beberapa projek dan aset penapisan minyak, loji perekah dan kemudahan petrokimia RAPID dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).