Ketua Pemegang Kepenti­ngan, Komunikasi dan Bahagian Pe­ngurusan Risiko Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) Sdn. Bhd., Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, Petronas telah melaksanakan 98 inisiatif dalam tempoh 2012 hingga 2017 melibatkan pelaburan berjumlah RM8 juta.

Katanya, inisiatif yang dikenali sebagai #UntukPengerang itu tertumpu kepada dua fokus utama iaitu ekonomi penduduk dan pelaburan korporat sosial (CSI).

“Di bawah fokus ekonomi penduduk, kami membantu mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan melalui pelbagai program dijalankan antaranya menerusi program pembangunan koperasi dan program kesediaan operasi keupayaan teknikal.

“Bagi CSI pula, antara program dilaksanakan termasuklah Program Sentuhan Ilmu Petronas, Penajaan Program Pendidikan Petronas dan Program Literasi Bahasa Inggeris, program me­ningkatkan taraf hidup (nelayan, orang asli dan petani) dan program pemulihan pokok bakat,” katanya dalam sidang akhbar di Pengerang baru-baru ini.

Projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) seluas 2,526 hektar serta projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) dijangka me­nukar landskap selatan Johor daripada suatu kawasan perkampu­ngan berasaskan aktiviti perikanan dan pertanian kepada sebuah tapak industri berteknologi tinggi.

Malah, PIC akan menjadi tunjang operasi hiliran Petronas selain membawa pelbagai manfaat kepada negara.

Bagi masyarakat tempatan, terutama para usahawan di sekitar Pengerang, pembangunan projek mega itu telah membuka peluang yang luas untuk meneroka atau mengembangkan lagi perniagaan menerusi pelbagai platform yang disediakan Petronas.

Sementara itu, Anita Azrina memberitahu, Petronas yang mempengerusikan Jawatankuasa Pemimpin Komuniti Pengerang (CLC) dari semasa ke semasa meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa negeri dalam menangani apa jua isu dan keluhan hati penduduk di kawasan ber­kenaan.

Katanya, jawatankuasa tersebut telah ditubuhkan sejak Di­sember 2014 akan bermesyuarat setiap bulan dengan dianggotai wakil-wakil dari Unit Perancang Ekonomi Johor, Pihak Berkuasa Tempatan Pengerang, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Johor Petroleum Development Corporation (JPDC), polis dan SAJ Holdings.

Dalam pada itu, Pengerusi Pembangunan Koperasi Bandar Penawar, Nahar Azli Salai berkata, Petronas memberi peluang kepada ahli-ahli koperasi untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran wang dan kedai serbaneka di dalam kawasan projek tersebut.

Katanya, kedai tersebut mula beroperasi sejak enam bulan lalu dan mempunyai 14 pekerja serta dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 9 malam.

“Dengan peluang yang diberikan ini, koperasi juga pada masa sama dapat memberi pendapatan tambahan kepada golongan ibu tunggal dan mereka yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) sekitar kawasan Pengerang dan Kota Tinggi,” katanya.