Memetik pegawai kerajaan dan eksekutif kewangan yang rapat dengan perkembangan itu, akhbar itu melaporkan, rundingan de­ngan pihak Dalian Wanda Group sebagai pemaju utama projek itu kini di peringkat selanjutnya dan hanya menunggu kelulusan pihak pengawal selia kewangan China.

Ini berikutan pelaburan Wanda Group itu bakal membabitkan a­liran modal yang besar dan tidak digalakkan Beijing sejajar strategi ekonominya untuk me­ngawal kedudukan rizab negara ber­kenaan.

Akhbar itu melaporkan, Wanda Group yang dikuasai oleh bilionair Wang Jianlin, turut memiliki rangkaian panggung wayang terbesar dunia selain taman tema, kelab bola sepak dan hotel.

Menurut sumber pengurusan atau eksekutif yang dipetik The Straits Times, sekiranya cadangan itu mendapat kelulusan kerajaan China, satu perjanjian akan ditandatangani ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Beijing minggu ini.

Najib dijadual menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa bagi Inisiatif Jajaran dan Laluan China pada Khamis dan Jumaat ini.

Malah, menurut The Straits Times, butiran cadangan pela­buran Wanda Group di Bandar Malaysia itu kini dalam peringkat untuk diperhalusi sebelum dapat dimuktamadkan.

Pegawai kerajaan Malaysia yang dipetik sebagai berkata, perjanjian baharu itu adalah lebih tinggi berbanding nilai keseluruhan projek sebanyak RM12.3 bilion.

Wanda Group juga dikatakan telah mencadangkan untuk menggunakan separuh daripada pembangunan terbabit bagi tujuan usaha sama pelancongan dan berkaitan hiburan yang dianggarkan bernilai AS$8 bilion (RM34.75 bilion).

Wanda Group dan kumpulan pemaju China, Greenland telah menyatakan minat untuk terbabit dalam projek Bandar Malaysia yang menyaksikan para eksekutif kanan kedua-dua syarikat swasta itu bertindak menemui Najib yang melawat China pada November tahun lepas, kata pegawai itu.

Bagaimanapun, Wanda Group terbukti lebih agresif dalam usaha itu.

Sebelum ini, TRX City Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewa­ngan, membatalkan jualan 60 peratus kepentingan saham dalam Bandar Malaysia Sdn. Bhd. bernilai RM7.41 bilion kepada IWH CREC Sdn. Bhd. (ICSB) atas alasan ICSB gagal memenuhi tanggungjawab pembaya­rannya biarpun sudah diberi 12 tempoh lanjutan.

ICSB merupakan sebuah konsortium merangkumi Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd. (IWH) dan China Railway Engineering Corp. (M) Sdn. Bhd. (CREC).

Terletak di kedudukan strategik, Bandar Malaysia adalah tapak pembangunan terbesar di Malaysia yang akan menawarkan banyak peluang perniagaan, pelaburan dan pekerjaan terma­suk Bandar Internet Kuala Lumpur yang menjadi hab Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

Ia akan turut berperanan sebagai nukleus pengangkutan Malaysia dengan menghubungkan perkhidmatan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, laluan Transit Aliran Massa (MRT), Komuter KTM, Express Rail Link (ERL) dan 12 lebuh raya. – BERNAMA