Pengerusi Eksekutif Mavcom, Jeneral (B) Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, ketika ini, kadar PSC di KLIA2 untuk destinasi antarabangsa selain ASEAN ditetapkan pada kadar RM50 manakala kadar untuk lapangan-lapangan terbang lain di Malaysia ditetapkan pada kadar RM73.

Katanya, bermula 1 Januari 2018, kadar PSC untuk destinasi tersebut di KLIA2 akan ditetapkan pada RM73 yang merupakan kadar yang disamaratakan berbanding semua lapangan terbang lain di Malaysia.

“Tiada perubahan terhadap semua kadar PSC bagi lapangan-lapangan terbang lain di Malaysia, kadar yang dipinda ini akan dikenakan hanya kepada ti­ket yang dike­luarkan pada dan selepas tarikh 1 Januari 2018.

“Tiket yang dikeluarkan sebelum tarikh ini tidak akan dikenakan kadar baharu walaupun tarikh penerbangan dijadualkan pada atau selepas 1 Januari 2018,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kadar baharu itu adalah berdasarkan hasil penilaian terhadap semakan yang dibuat oleh Mavcom pada awal 2017. Hasil penilaian juga telah mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada penggiat industri.

Di samping itu, Mavcom sedang membangunkan rangka kerja pengawal seliaan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan di lapangan-lapangan terbang di Malaysia bagi memberi isyarat kepada pengendali lapangan-lapangan terbang di Malaysia untuk meningkatkan tahap perkhidmatan.

Menurut Abdullah, objektif Rangka Kerja Lapangan Terbang Kualiti Perkhidmatan Berkualiti (QoS) untuk meningkatkan tahap keselesaan penumpang di lapangan terbang, memastikan pengendali lapangan-lapangan terbang mengutamakan tahap perkhidmatan pengguna serta meningkatkan kepuasan pengguna.

“Kami berharap dapat menguatkuasakan Rangka Kerja Lapangan Terbang QoS bermula 2018,” katanya.